Johor cadang bina taman haiwan baru di Iskandar Puteri
Kerajaan Johor merancang untuk membina taman haiwan baru berkeluasan 20.2 hektar yang bakal menjadi tumpuan pelancong ke negeri itu.
Masjlis Bandaraya Iskandar Puteri (Gambar: MBIP)
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Mohd Jafni Md Shukor.
Bagaimanapun, beliau berkata ia masih di peringkat awal perbincangan.
Encik Mohd Jafni berkata kerajaan negeri juga sedang melihat beberapa taman haiwan yang menjadi tumpuan pelancong seperti Taman Haiwan Singapura, Taman Haiwan Melaka dan Taman Haiwan Taiping sebagai model untuk pembinaan taman haiwan baru.
"Untuk buat zoo baru ini, ambil masa juga sebab (masih) di peringkat awal perbincangan. Ada beberapa proses sebelum sampai kepada proses peruntukan, peruntukan perlu disediakan dulu untuk bina satu zoo dengan kelengkapan.
"Seperti Zoo Johor ini, sudah tentu perlukan bajet besar dan kelulusan kerajaan negeri. Konsep yang boleh cadangkan, kita akan bawa pemaju atau agensi korporat sebagai sukarelawan atau untuk jaga binatang terutama bab pemakanan sebab kos operasi makanan haiwan memang tinggi," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini (21 Jun).
Sementara itu, Encik Mohd Jafni berkata taman haiwan berusia 94 tahun di Jalan Gertak Merah, Taman Istana di Johor Bahru yang kini dalam proses pembaikan akan dikekalkan.
"Zoo sedia ada ini akan dikekalkan, kerajaan negeri dalam proses menaik taraf dan membaik pulih fasiliti sedia ada. Ia adalah zoo yang tertua dan kerajaan negeri telah memperuntukkan RM250,000 (S$78,780) untuk menukar semua paip lama dan proses tersebut sedang berjalan," katanya.
Taman haiwan berkenaan sudah ditutup sejak 18 Oktober 2020 bagi membolehkan kerja menaik taraf kandang dan kelengkapan haiwan dilaksanakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.