Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor bentang belanjawan defisit RM286.47 juta bagi 2022

Kerajaan Johor hari ini (18 Nov) membentangkan Belanjawan Johor 2022 yang merupakan belanjawan defisit kedua berjumlah RM286.47 juta.

Anggaran Waktu Membaca:
Johor bentang belanjawan defisit RM286.47 juta bagi 2022

Gambar: BERNAMA

Diterbitkan : 18 Nov 2021 05:34PM Dikemas Kini : 18 Nov 2021 05:40PM

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor hari ini (18 Nov) membentangkan Belanjawan Johor 2022 yang merupakan belanjawan defisit kedua berjumlah RM286.47 juta.

Membentangkan Belanjawan yang bertemakan “Memperhebat Kesejahteraan Johor”, Menteri Besar Johor Ir Hasni Mohammad berkata hasil negeri pada tahun depan diunjurkan berjumlah RM1.671 bilion manakala perbelanjaan berjumlah RM1.958 bilion.

“Tema Belanjawan Johor 2022 yang dipilih selari dengan hasrat kerajaan negeri Johor untuk memastikan kelangsungan rakyat yang terjejas berikutan pandemik. Justeru pada hemat saya, Belanjawan ini amat bermakna kerana menyerlahkan usaha kerajaan negeri untuk memberikan suntikan dan lonjakan baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial yang mapan dan berdaya tahan.

“Segala pertimbangan dan Belanjawan Johor 2022 akan dipandu dua asas utama iaitu pertama, mendekati dan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat COVID-19 dan kedua, mempergiatkan usaha awalan dalam memulihkan sektor-sektor ekonomi secara menyeluruh,” kata beliau ketika berucap membentangkan Belanjawan tersebut pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.

Pada Belanjawan tahun depan, kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan menguruskan sebanyak RM1.087 bilion, sementara RM870 juta untuk pembelanjaan pembangunan yang bakal digunakan bagi melaksanakan empat impetus dan 12 agenda utama dalam belanjawan berkenaan.

“Walau bagaimanapun anggaran hasil dan defisit kami tertakluk kepada tahap ketidakpastian yang dipengaruhi beberapa faktor antaranya seperti kemungkinan kemunculan varian COVID-19 yang baharu, impak sosio-ekonomi dan pembukaan sempadan antarabangsa,” kata beliau.

Menyentuh mengenai prestasi pelaksanaan Belanjawan Johor 2021, beliau berkata sebanyak 141 inisiatif dengan peruntukan keseluruhan RM850 juta telah mencapai 85.1 peratus pelaksanaan setakat suku ketiga tahun 2021.

Hasni (BN-Benut) berkata selepas Johor mengalami penguncupan 4.6 peratus pada tahun 2020, ekonomi negeri Johor diunjurkan berkembang sekitar 3.5 peratus sehingga 4.1 peratus pada tahun ini dan dijangka terus mencatatkan pertumbuhan tahap pra-krisis pada separuh tahun hadapan.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan