Johor benarkan jarak solat dikurang setengah meter antara makmum mulai 7 Jan
Johor membenarkan jarak antara makmum dalam solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu di negeri ini dikurangkan daripada satu meter kepada setengah meter bermula Jumaat ini (7 Jan).
(Gambar: BERNAMA)
JOHOR BAHRU: Johor membenarkan jarak antara makmum dalam solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu di negeri ini dikurangkan daripada satu meter kepada setengah meter bermula Jumaat ini (7 Jan).
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi, Pengarah Jabatan Agama Islam Johor Md Rofiki Samsudin dan Mufti Negeri Yahya Ahmad hari ini (5 Jan).
Menurut kenyataan itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar memberi persetujuan agar pelaksanaan itu dikuat kuasakan pada 7 Januari iaitu pada Jumaat ini hingga suatu tarikh yang akan diumumkan Majlis Agama Islam Negeri Johor.
“Selain itu, solat hajat juga hendaklah dilaksanakan selepas solat Maghrib setiap hari dan selepas solat Jumaat setiap minggu di semua masjid dan surau negeri ini.
"Program pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah dan ceramah agama daripada satu jam pula ditambah kepada tempoh tidak melebihi daripada dua jam,” menurut kenyataan itu.
Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan surau akan bertanggungjawab untuk sentiasa memastikan kesemua jemaah mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.