Johor bakal saksi lonjakan jumlah pengunjung
JOHOR BAHRU: Daya tarikan utama di negeri Johor dijangka menyaksikan lonjakan jumlah pengunjung pada bulan-bulan mendatang.
Perkara itu amat dinanti-nantikan setelah berdepan dengan cabaran penutupan sempadan serta beberapa perintah sekatan COVID-19 sepanjang dua tahun ini.
Pesta bertemakan perlumbaan menjadi tarikan utama terbaru taman tema Legoland, hampir sebulan selepas sempadan dibuka semula.
Ia juga melambangkan usaha menghidupkan semula sektor pelancongan di Johor.
Walaupun kadar kedatangan pengunjung belum mencecah paras prapandemik, para pemain industri menjangkakan lonjakan pada bulan Jun nanti sempena cuti sekolah bagi para pelajar di Malaysia dan Singapura.
Lantaran itu, Legoland memperkenalkan beberapa tarikan yang baru serta melancarkan kempen untuk meningkatkan penjualan tiket.
Sama juga bagi padang golf di Desaru yang sudah penuh ditempah sehingga Ogos.
Para pengunjung yang datang bukan sahaja warga tempatan tetapi juga dari luar negara seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.
Tidak lama lagi juga, para pengunjung dari Singapura dapat ke Desaru dengan menaiki feri.
Terminal feri di Desaru bakal menawarkan perjalanan ulang alik setiap hari dan dua kali sehari pada hujung minggu.
Dengan ketersambungan yang lebih baik kini, jabatan pelancongan negeri Johor menjangkakan sekitar lima juta pelancong asing pada tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.