Skip to main content

Dunia

Johor bakal bina pusat pengumpulan durian atasi jangkaan lambakan

Anggaran Waktu Membaca:
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan membangunkan pusat pengumpulan durian di Tangkak menyusuli jangkaan lambakan raja buah itu dalam masa tiga atau empat tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Zahari Sarip berkata, berdasarkan tinjauan Jabatan Pertanian Johor, lambakan itu dijangka berlaku berikutan penanaman durian berskala besar yang dilakukan pekebun sejak beberapa tahun lepas.

Beliau berkata harga durian termasuk Musang King juga akan jatuh sekiranya lambakan itu berlaku.

“Berdasarkan tinjauan Jabatan Pertanian Johor, kita merasakan susulan penanaman durian berskala besar, ini akan menyebabkan berlaku lambakan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang. 

“Justeru itu, apabila penanaman berskala besar ini mula mengeluarkan hasil kerajaan negeri dapat menyimpannya di pusat pengumpulan tersebut,” katanya kepada wartawan di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di Iskandar Puteri pada Isnin (27 Nov).

Beliau berkata, menerusi pusat pengumpulan tersebut, hasil durian yang akan melalui proses sejuk beku dapat dipasarkan di luar musim.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap itu menambah, usaha membangunkan pusat pengumpulan tersebut akan dilakukan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Jika tidak diambil tindakan awal, saya bimbang harga durian akan jatuh melainkan durian dapat dipasarkan terus ke luar negara seperti China. 

“Bagaimanapun, ketika pandemik COVID-19 sebelum ini durian tidak dapat dieksport ke China. Jadi, kita tidak mahu lambakan durian berlaku dan cadangan pusat pengumpulan ini cukup penting agar isi durian dapat disejukbekukan dipasarkan sepanjang tahun,” katanya. 

Untuk rekod, kerajaan Johor menyasarkan peningkatan pengeluaran durian sebanyak 141,862 tan metrik pada 2027 dengan Tangkak merupakan daerah pengeluar tertinggi. 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita