Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor bakal bina Hospital Sultanah Aminah 2 dengan kos RM500 juta

Johor sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan daripada kerajaan Persekutuan bagi pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 membabitkan kos sebanyak RM500 juta (S$158 juta).

Anggaran Waktu Membaca:
Johor bakal bina Hospital Sultanah Aminah 2 dengan kos RM500 juta

Hospital Sultanah Aminah. (Gambar; Sultanah Aminah Hospital/ Facebook)

Diterbitkan : 23 Jun 2022 08:40PM Dikemas Kini : 23 Jun 2022 08:40PM
ISKANDAR PUTERI: Johor sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan daripada kerajaan Persekutuan bagi pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 membabitkan kos sebanyak RM500 juta (S$158 juta).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata projek pembinaan hospital baru itu diharapkan tersenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan dijangka dapat dimulakan pada 2024 sekiranya mendapat kelulusan.

Beliau berkata hospital yang akan dibina di tanah berkeluasan 207.55 hektar di Kempas itu turut mendapat sokongan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Seluruh Bangsa Johor mengimpikan untuk mendapat hospital baru, iaitu HSA 2 dan kami sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan supaya hospital tersebut dapat tersenarai dalam Rolling Plan ketiga RMK12.

“Johor meletakkan projek ini sebagai keutamaan dan kita juga dapat sokongan KKM. Setakat yang saya tahu, kementerian telah mencadangkan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) membabitkan peruntukan RM500 juta untuk projek ini,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Menurut beliau, hospital berkenaan bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dengan reka bentuk moden serta kapasiti tempat letak kereta yang banyak.

“Bukan hospital sahaja, kita akan buat Pejabat Kesihatan negeri di dalam kawasan itu dan pelbagai fasiliti lain, tetapi bagi fasa pertama kita akan mendirikan bangunan hospital dengan kapasiti 350 katil dengan klinik-klinik pakar yang ada,” katanya.

Ling berkata HSA sedia ada akan terus kekal sebagai hospital negeri sekali gus mengharapkan agar pembinaan hospital kedua itu dapat direalisasikan.

Mengulas mengenai vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak yang cukup usia lima tahun,  beliau berkata ibu bapa boleh membuat pendaftaran melalui MySejahtera dan selepas itu mereka akan dirujuk ke Klinik Kesihatan berdekatan untuk menerima vaksin.

Menurutnya, kadar vaksinasi COVID-19 penduduk dewasa di Johor telah mencapai 100 peratus dengan 2.732 juta individu lengkap vaksinasi setakat 6 Jun lalu.
Sumber : Bernama/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa