Skip to main content

Dunia

Johor Bahru semak semula piawaian keselamatan bangunan bagi risiko gempa berikutan gegaran baharu

Anggaran Waktu Membaca:
Johor Bahru semak semula piawaian keselamatan bangunan bagi risiko gempa berikutan gegaran baharu

Gempa bumi menggegarkan perairan Wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, pada 17 Julai 2025. (Gambar hiasan: iStock/Petrovich9)

Diterbitkan : 02 Oct 2025 10:54AM Dikemas Kini : 02 Oct 2025 11:08AM
JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan melancarkan semakan menyeluruh terhadap piawaian keselamatan bangunan di seluruh bandar untuk memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi gempa bumi, berikutan satu lagi gegaran di Johor Bahru pada hujung minggu lalu.

Datuk bandar JB Haffiz Ahmad berkata inisiatif itu penting untuk memastikan semua bangunan dapat bertahan dengan lebih baik dan mengurangkan risiko kerosakan serius sekiranya berlaku gempa bumi yang tidak dijangka, menurut laporan akhbar Malay Mail.

Langkah itu diambil selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan gempa bumi sekuat 3.5 magnitud di perairan Batu Pahat pada Sabtu (27 Sep).

Gegaran itu merupakan yang terbaru dalam siri gempa kecil yang melanda Johor sejak akhir Ogos, yang dikaitkan oleh pakar dengan Zon Sesar Mersing.

"Majlis bandaraya mengambil serius perkara seperti ini. Saya telah meminta jabatan kawalan bangunan MBJB untuk memulakan semakan ini dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan," kata Encik Haffiz semasa mesyuarat penuh majlis itu di Menara MBJB di Johor Bahru pada Rabu (1 Okt), menurut laporan Malay Mail.

Beliau berkata semakan itu akan melibatkan kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat, MetMalaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, serta pakar-pakar dari institusi pengajian tinggi.

Semakan itu bukan sahaja akan memberi tumpuan kepada bangunan besar tetapi juga akan meliputi kemudahan awam, pusat perniagaan, institusi pendidikan, dan kawasan kediaman. Matlamatnya adalah untuk membangunkan garis panduan teknikal yang lebih kukuh untuk struktur sedia ada dan projek baharu, tambah Encik Haffiz.

"Pelaksanaan piawaian baharu yang dicadangkan juga akan mengambil kira pengalaman dalam menguruskan risiko gempa, selain disesuaikan dengan keadaan geografi dan keperluan tempatan," katanya, seperti yang ditukil laporan Malay Mail.

Walaupun Semenanjung Malaysia secara umumnya dianggap mempunyai risiko rendah berkaitan gempa bumi kerana terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, gegaran baru-baru ini mendorong pihak berkuasa untuk mengambil pendirian proaktif terhadap persediaan menghadapi bencana.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita