Johor anjur Jualan Rahmah bagi keperluan asas 2 kali sebulan mulai Mei
(Gambar: Harian Metro)
JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor dengan kerjasama kerajaan negeri akan melancarkan Jualan Rahmah di semua 26 kawasan Parlimen pada Mei ini, lapor Harian Metro.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, Jualan Rahmah itu diadakan dua kali sebulan di setiap Parlimen dengan potongan harga 15 sehingga 20 peratus membabitkan barang keperluan asas.
"Jualan ini kita adakan dua kali sebulan mengikut jadual yang ditetapkan. Jualan akan diadakan termasuk di pasar raya dan kedai runcit.
"Malah kita juga akan adakan di kawasan yang berbeza," katanya di sidang media selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 Peringkat Negeri Johor di Mydin Mall di Taman Mutiara Rini, Johor Bahru pada Ahad (16 Apr).
Hadir sama, Pengarah KPDN Johor, Lili's Saslinda Pornomo dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Johor, Muhammad Aizuddin Mohd Saad.
Berkaitan SHMMP Hari Raya Puasa, Encik Lee berkata, beliau berharap para peniaga akan mematuhi undang-undang dan tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang sesuka hati.
Menurutnya lagi, sepanjang SHMMP Tahun Baru Cina 2023 sebelum ini, KPDN menjalankan 790 pemeriksaan ke atas pengilang, pemborong dan peruncit di seluruh negeri.
"Sebanyak 35 kes dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM4,600 (S$1,390) dihasilkan sepanjang pelaksanaan skim harga berkenaan membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011," Harian Metro memetik komen Encik Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.