Johor akan tubuh jawatankuasa khas tangani isu kekurangan pekerja
Gambar Fail
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menangani isu kekurangan pekerja tempatan ketika ini termasuk kecenderungan pekerja Malaysia bekerja di Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Md Shah berkata jawatankuasa itu akan diketuai Unit Strategik Modal Insan (SMI) Negeri Johor dan disertai agensi-agensi berkaitan.
Beliau berkata ketika ini Johor mengalami kekurangan pekerja antaranya melibatkan sektor perkhidmatan, perladangan dan perhotelan.
“Kita (Kerajaan Johor) melihat apabila sempadan dibuka, banyak pekerja kita ke Singapura (bekerja di Singapura)… jadi saya harap Unit SMI bersama agensi-agensi lain mencari jalan penyelesaian terutama mencari kaedah untuk mewujudkan peluang kerjaya di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui wartawan di Majlis Penyampaian Sijil Pro Mahir dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Unit SMI Negeri Johor di Iskandar Puteri hari ini.
Mohd Hairi berkata nilai mata wang Singapura yang tinggi merupakan antara tarikan rakyat bekerja di republik tersebut.
“Jadi hari ini kita mengalami kekurangan pekerja tempatan dan ia meningkat. Ramai juga pengusaha industri atau peladang bertanyakan status dan penyelesaian melibatkan pekerja asing,” katanya.
Beliau berkata sehubungan itu pihaknya akan mewujudkan jawatankuasa tersebut secepat mungkin selepas mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat dengan agensi berkaitan yang akan turut melibatkan Kementerian Sumber Manusia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.