Skip to main content

Dunia

Johor akan kenal pasti flat awam yang perlu dibaik pulih

Anggaran Waktu Membaca:
Johor akan kenal pasti flat awam yang perlu dibaik pulih

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyaksikan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menyerahkan kunci rumah Residensi Kota Tinggi kepada penerima Syahlizan Saimin pada Majlis Penyerahan Kunci dan Jamuan Makan Hari Raya Aidilfitri di Residensi Kota Tinggi pada Isnin (15 Mei). (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 15 May 2023 11:05PM
KOTA TINGGI: Kerajaan Johor akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengenal pasti kira-kira 10 flat awam uzur yang berusia lebih 40 tahun untuk diselenggara dan dibaik pulih.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Mohd Jafni Md Shukor berkata flat awam tersebut merupakan projek swasta untuk golongan berpendapatan rendah (B40) yang dikendalikan sama ada oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerajaan negeri atau pusat tiada bidang kuasa untuk membantu dan memberikan peruntukan khas bagi membaik pulih serta menyenggara flat awam berkenaan.

“Kalau di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Kulai terdapat kira-kira 100 flat awam, tetapi yang dalam keadaan uzur dengan usia lebih 40 tahun jumlahnya sedikit.

“Jadi, kerajaan negeri akan berkolaborasi dengan KPKT untuk melihat flat awam ini,” katanya kepada wartawan selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Jamuan Makan Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 Residensi Kota Tinggi pada Isnin (15 Mei).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang menzahirkan kekecewaan terhadap keadaan bangunan, penyenggaraan serta tahap kebersihan flat kos rendah di negeri itu.

Encik Mohd Jafni menjelaskan langkah mengenal pasti itu seiring dengan titah Sultan Ibrahim yang mahu flat awam di negeri tersebut dibantu dari segi peruntukan.

“Bagi rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK), ia adalah di bawah kerajaan negeri dan Persekutuan yang kebiasaannya ada peruntukan yang disediakan.

“Bagi flat awam di bawah JMB atau MC pula tiada peruntukan, sebab itu Sultan Ibrahim memohon Menteri Nga Kor Ming untuk sedia peruntukan bagi flat awam yang berusia 40 tahun,” katanya.

Menurut Encik Mohd Jafni antara isu yang berlaku sehingga menyebabkan flat tersebut uzur kerana pemilik tidak membayar caj penyenggaraan.

“Kebanyakan flat awam milik swasta ini diuruskan oleh MC dan JMB sendiri, malah ada flat awam yang tiada MC atau JMB. Jadi, antara isu (yang berlaku) adalah pemilik tidak bayar yuran penyenggaran bulanan, menyebabkan kontraktor tiada duit yang cukup untuk menyenggara,” katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita