Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Johor akan jadi tiang seri kemenangan BN dalam PRU15, tegas Hasni Mohammad

Anggaran Waktu Membaca:
Johor akan jadi tiang seri kemenangan BN dalam PRU15, tegas Hasni Mohammad
Diterbitkan : 11 Nov 2022 06:57PM Dikemas Kini : 11 Nov 2022 06:58PM
KLUANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Hasni Mohammad yakin Johor Bahru akan menjadi tiang seri kepada kemenangan gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia.

Beliau yang juga calon BN Parlimen Simpang Renggam berkata warga Johor mahukan kerajaan yang stabil dan antara buktinya Kerajaan Negeri Johor yang dipimpin BN itu menjadi sebuah kerajaan yang progresif dan maju selepas menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lepas.

“Dalam PRN Johor, BN mendahului dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), ia bukan sahaja mengembalikan Johor sebagai kubu kuat BN, tetapi akan menjadi tiang seri kemenangan kepada BN dalam PRU15,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri kenduri sekampung di Kampung Parit Salman, di Kluang pada Jumaat (11 Nov).

Encik Hasni yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, dalam tempoh satu atau dua penggal ke hadapan, Johor Bahru mempunyai masa hadapan yang cerah kerana barisan anak muda dalam BN akan meneruskan kesinambungan dalam membangunkan Johor Bahru sekali gus menyumbang kepada kemajuan negara.

Rabu lepas (2 Nov), Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob ketika hadir majlis ramah mesra bersama warga Parlimen Ayer Hitam di Kluang berkata beliau mahu Johor Bahru kembali menjadi kubu kuat UMNO dan BN, sekali gus menyumbang kepada kemenangan gabungan itu pada PRU15 Malaysia.
Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) akan mencipta kejayaan dalam PRU15 sekiranya peratusan keluar mengundi melebihi 70 peratus, Hasni berkata BN sudah pun mempunyai pengundi tegar yang setia terhadap gabungan itu.

Seramai 2,616,576 pengundi biasa termasuk tentera, polis dan pasangan layak untuk mengundi di Johor dalam PRU15.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan