Skip to main content

Dunia

Johor ada rancangan untuk tidak lagi bergantung kepada S'pura bagi bekalan air terawat

Kerajaan Negeri Johor mempunyai perancangan untuk tidak lagi bergantung kepada Singapura bagi membekalkan air terawat kepada negeri itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Johor ada rancangan untuk tidak lagi bergantung kepada S'pura bagi bekalan air terawat

Menteri Besar Johor, Osman Sapian. (Gambar: Howard Law)

Diterbitkan : 01 Mar 2019 11:22PM Dikemas Kini : 01 Mar 2019 11:25PM

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor mempunyai perancangan untuk tidak lagi bergantung kepada Singapura bagi membekalkan air terawat kepada negeri itu.

Menteri Besar Johor, Osman Sapian, berkata perancangan bagi menampung sendiri keperluan air terawat di Johor itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

"Saya sentuh sedikit mengenai isu air dengan Singapura, saya ingin memberi pencerahan sedikit bahawa telah ada perancangan untuk tidak lagi bergantung kepada Singapura bagi mendapatkan sumber air terawat yang kita beli daripada mereka selama ini.

"Tetapi perkara ini masih lagi dalam peringkat perancangan dan saya tidak dapat kongsikan butirannya pada ketika ini sehingga perancangan ini dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Johor, di sini hari ini (1 Mac).

Menurut kenyataan itu, Menteri Besar Johor berkata demikian ketika berucap pada penutup Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor Bersama Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan juga barisan Menteri Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Semalam, ketika bersama-sama dalam sesi pemukiman berkenaan, Dr Mahathir mahu Johor mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan isu pembelian air terawat daripada Singapura.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Osman berkata pemukiman dua hari bermula semalam itu berjaya mencapai objektif penganjurannya.

"Program ini secara keseluruhan berjaya mencapai objektif iaitu meningkatkan tahap kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan. Banyak idea dan pandangan bernas yang telah dilontarkan oleh barisan kepimpinan negeri Johor dan juga anggota pentadbiran persekutuan," katanya.

Seramai 12 Menteri Persekutuan, dua Timbalan Menteri dan seorang Ketua Pengarah daripada 15 kementerian terlibat memberikan perkongsian mengenai kementerian masing-masing sepanjang sesi pemukiman berkenaan.

Sesi pemukiman disertai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen Pakatan Harapan Johor itu adalah satu program berbentuk diskusi yang membincangkan pelbagai topik melibatkan pentadbiran seperti membentuk ekonomi mampan, agenda pekerjaan, pengangkutan, pendidikan kesihatan dan lain-lain dengan matlamat untuk memperkasa tadbir urus selepas sembilan bulan menerajui Kerajaan Negeri selain menjadi platform bertukar idea dan pandangan.

Sumber : Bernama/DY/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita