John Ternus bakal terajui Apple ketika berdepan cabaran AI, pergantungan kepada China
Apple akan memasuki era kepimpinan baharu pada Selasa (1 Sep), apabila ketua kejuruteraan perkakasannya, John Ternus, mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif daripada Tim Cook.
John Ternus dari Apple berucap ketika pengumuman produk baharu di Persidangan Pembangun Sedunia Apple di San Jose, California, pada 5 Jun 2017. (Gambar fail: AP/Marcio Jose Sanchez)
- Apple melantik John Ternus sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu menggantikan Tim Cook, yang kini menjadi pengerusi eksekutif bermula 1 September.
- Ternus, yang berpengalaman 25 tahun di Apple, perlu memastikan syarikat kekal di barisan hadapan industri dengan memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI).
- Apple sedang menilai semula penggunaan tunai untuk pelaburan dalam AI dan pengambilalihan, serta menghadapi kritikan kerana lambat dalam bidang AI.
- Kebergantungan Apple terhadap China untuk pengeluaran dan pasaran jualan menjadi cabaran utama, di tengah persaingan syarikat tempatan dan ketegangan geopolitik.
Encik Cook, yang menerajui Apple sejak 2011, akan menjadi pengerusi eksekutif syarikat itu.
Perubahan tersebut menandakan berakhirnya satu era di salah sebuah syarikat paling berpengaruh di dunia.
Encik Ternus, seorang jurutera mekanikal, sudah berkhidmat dengan Apple selama 25 tahun dan dilaporkan mendapat sokongan kuat dalam syarikat itu.
BERDEPAN CABARAN AI
Encik Ternus, 50 tahun, perlu memastikan Apple terus berada di barisan hadapan industri yang berubah dengan pesat akibat perkembangan kecerdasan buatan, AI.
Beliau dijangka memberikan gambaran awal mengenai pendekatannya pada 9 September 2026, apabila Apple dijangka memperkenalkan rangkaian iPhone terbaharunya.
Apple sebelum ini dikritik kerana bergerak terlalu perlahan dalam bidang AI, termasuk kelewatan memperkenalkan versi pembantu suara Siri yang dipertingkatkan.
Namun, ramai penganalisis masih melihat kepakaran Apple dalam perkakasan sebagai kelebihan besar.
Ia membolehkan syarikat tersebut menyediakan kuasa pemprosesan yang diperlukan bagi aplikasi AI.
Apple juga mungkin perlu menilai semula cara syarikat itu menggunakan simpanan tunainya yang besar.
Syarikat tersebut memberi isyarat bahawa ia mungkin menyimpan lebih banyak wang tunai untuk pelaburan, berbanding membeli semula saham.
Langkah itu berpotensi memberikan Encik Ternus lebih kebebasan untuk berbelanja bagi pengambilalihan, kerjasama dan prasarana AI.
Cabaran utamanya ialah melaksanakan perubahan yang diperlukan untuk memastikan Apple kekal di barisan hadapan era AI, tanpa menyimpang daripada formula yang menjadikannya antara syarikat paling berjaya di dunia.
KEBERGANTUNGAN TERHADAP CHINA
China pula menjadi satu lagi cabaran ketika Apple membentuk hala tuju baharunya.
Tarif yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mendedahkan lagi kelemahan rantaian bekalan Apple yang meluas.
Walaupun syarikat itu memindahkan lebih banyak kerja pemasangan ke negara seperti India dan Vietnam, banyak komponen penting pengeluarannya masih bergantung kepada China.
Nabila Popal, pengarah penyelidikan kanan di firma risikan pasaran International Data Corporation, berkata kemahiran khusus serta pelbagai komponen yang diperlukan dalam pengeluaran telefon sudah tersedia di China dan sukar ditiru di pasaran lain.
Apple bukan sahaja bergantung kepada China untuk mengeluarkan produknya, malah negara itu juga merupakan pasaran jualan ketiga terbesar syarikat berkenaan.
China biasanya menyumbang kira-kira AS$70 bilion (S$89.6 bilion), kepada hasil tahunan Apple.
Walaupun kiriman iPhone di China terus meningkat sepanjang tahun lalu, persaingan daripada syarikat tempatan seperti Huawei serta ketegangan antara Washington dengan Beijing boleh mengancam kedudukan Apple.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.