Skip to main content

Dunia

Joe Biden perkenal calon anggota Kabinetnya

Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Selasa (24 Nov) memperkenalkan calon dan pelantikan Kabinetnya serta menyuarakan kesediaannya berhadapan lawan (musuh) negara dan tidak menolak sekutu, lapor Agensi Anadolu.

Anggaran Waktu Membaca:
Joe Biden perkenal calon anggota Kabinetnya

Encik Joe Biden. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 25 Nov 2020 04:05PM Dikemas Kini : 25 Nov 2020 04:09PM

WASHINGTON: Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Selasa (24 Nov) memperkenalkan calon dan pelantikan Kabinetnya serta menyuarakan kesediaannya  berhadapan lawan (musuh) negara dan tidak menolak sekutu, lapor Agensi Anadolu.

"Ia satu pasukan yang akan memastikan keselamatan dan keamanan negara serta rakyat kita dan ini adalah pasukan yang mencerminkan bahawa Amerika telah kembali - bersedia memimpin dunia, tidak akan berundur daripadanya," kata Encik Biden pada taklimat media di Wilmington, Delaware.

Beberapa calon dan lantikan utama sudah  diumum, sebahagian yang lain menyusul pada Isnin.

Antaranya  Encik Antony Blinken sebagai Setiausaha Negara, Encik Alejandro Mayorkas yang akan mengetuai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Cik Linda Thomas-Greenfield sebagai Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cik Avril Haines dicalonkan Pengarah Perisikan Negara dan Encik John Kerry Utusan Khas Presiden untuk perubahan iklim.

"Mereka mengukuhkan kepercayaan saya bahawa Amerika berada dalam keadaan paling kuat apabila bekerjasama dengan sekutunya," kata Encik Biden mengulas mengenai calon yang menjadi tulang belakangnya.

Sementara itu, Encik Blinken berkata jika AS bertindak bersendirian, ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah dunia.

"Kita perlu bekerjasama dengan negara lain. Kita memerlukan kerjasama dan perkongsian dengan mereka," katanya.

Encik Mayorkas, keturunan Cuba-Amerika dan Latin pertama dilantik mengetuai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, mengucapkan terima kasih kepada Encik Biden dan bakal Naib Presiden Kamala Harris berikutan pencalonan itu.

Katanya, agensi itu mempunyai "misi mulia" untuk melindungi rakyat Amerika dan amat berbesar hati untuk merealisasikan "harapan terbesar” negara itu.

"Beliau memilih kami bukan untuk berkhidmat kepadanya, tetapi untuk berkhidmat kepada rakyat Amerika, untuk membantu meningkatkan keselamatan, kemakmuran, nilai-nilai kami," kata Cik Haines, wanita pertama mengetuai bahagian perisikan.

Mengulas pelantikan Encik John Kerry, Encik Biden berkata: "Buat julung kalinya akan ada ketua di majlis keselamatan negara yang akan memastikan isu perubahan iklim menjadi antara agenda penting."

Encik Kerry berkata untuk mengakhiri krisis perubahan iklim, "seluruh dunia harus bersatu ... Semua negara mesti menjulang cita-cita bersama, atau kita semua akan sama-sama gagal. Dan kegagalan bukanlah menjadi pilihan."

Pengumuman itu dibuat setelah Presiden Donald Trump pada Isnin meminta pasukannya untuk memulakan "protokol awal" bagi proses peralihan pentadbiran kepada Biden.

Semua calon Kabinet perlu mendapat kelulusan Senat sebelum menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita