Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jiran tetangga tidak mengesyaki kaitan keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram dengan JI

Anggaran Waktu Membaca:
ULU TIRAM: Di hujung sebuah kampung kecil berdekatan dengan Ulu Tiram, Johor, terletak sebuah rumah usang dengan bumbung zink yang tidak rata. Ia menempatkan sebuah keluarga yang disifatkan oleh jiran tetangga sebagai keluarga yang hanya memencilkan diri dan bahkan sederhana sahaja.

Pada Jumaat (17 Mei), para penduduk kampung itu dikejutkan dengan berita mengenai keluarga tersebut, yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI). Ini menyusuli serangan pada awal pagi ke ats balai polis bandar tersebut yang meragut nyawa dua anggota polis.

Penyerang itu merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun daripada keluarga, yang menurut pihak berkuasa Malaysia, adalah anggota JI. Dia terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan. Lima anggota keluarganya sudahpun diberkas termasuk bapanya.
Rumah suspek tersebut. (Gambar: Zamzahuri Abas/CNA)
Seorang wanita, yang hanya ingin dikenali sebagai Rohani, memberitahu Mediacorp bahawa keluarga yang diberkas itu pendiam dan memencilkan diri mereka.

"Kami hanya melihat mereka apabila mereka masuk dan keluar, kerana mereka tinggal jauh di dalam kampung. Kami tidak pernah bercakap dengan mereka sebelum ini. Tiada tanda-tanda mereka pelampau atau pengganas," katanya. Cik Rohani memakai niqab iaitu tudung yang menutup seluruh muka kecuali mata.

Seorang wanita yang tidak mahu identitinya didedahkan memberitahu Mediacorp, dia sudah tinggal di kampung tersebut selama 13 tahun tetapi tidak pernah bercakap dengan mana-mana anggota keluarga itu.

"Saya tidak mengenali mereka kerana kami tidak banyak berurusan dengan mereka ... Saya tidak tahu mereka terkait dengan JI dan tiada sebab untuk mengesyakinya," ujarnya.

Ramai penduduk kampung itu enggan bercakap dan tidak mahu diwawancara.

Mediacorp tidak menemui mana-mana lelaki dewasa di kampung itu - yang terdiri daripada 10 buah rumah - pada Jumaat, dengan kesemua penduduk yang hadir merupakan wanita dewasa dan kanak-kanak.

Polis Malaysia menyatakan pihaknya sedang memburu kira-kira 20 anggota JI yang diketahui di Johor. Mediacorp sudahpun menghubungi Kementerian Dalam Negeri Malaysia untuk bertanya sama ada penangkapan lanjut akan dibuat menyusuli serangan pada Jumaat dan sama ada sesetengah anggota JI adalah penduduk kampung tersebut.

Dalam satu catatan di Facebook, Agong dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan balai polis tersebut. Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan bahawa tindakan tegas akan diambil oleh polis terhadap sesiapa yang mencetuskan keganasan di negara itu, lapor Bernama.
Meskipun serangan itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan di Malaysia dan bahkan serantau, para pakar keselamatan mengatakan masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada insiden itu merupakan petanda yang menunjukkan kebangkitan semula kumpulan pengganas tersebut di Johor.

Serangan tersebut, di mana suspek menunggang sebuah motosikal untuk memasuki pekarangan balai polis, kelihatan bersifat asas saja dan bukan operasi biasa JI, menurut para penganalisis.

Sungguhpun demikian, serangan itu menimbulkan kebimbangan di rantau di mana para anggota kanan JI dari Indonesia telah melarikan diri lebih 30 tahun yang lalu sebelum menubuhkan sebuah sekolah agama berasrama di sana, menurut para penganalisis.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan