Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jika dilantik PM, Anwar Ibrahim tidak akan ambil gaji

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengisytiharkan bahawa jika dilantik sebagai perdana menteri, beliau tidak akan mengambil gajinya sebagai solidariti kepada rakyat Malaysia yang bergelut dengan kenaikan harga barang.

Anggaran Waktu Membaca:
Jika dilantik PM, Anwar Ibrahim tidak akan ambil gaji

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berucap di Majlis Pelancaran Tawaran Harapan Kita Boleh! di Bandar Baru Klang pada 2 Nov 2022. (Gambar fail: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengisytiharkan bahawa jika dilantik sebagai perdana menteri, beliau tidak akan mengambil gajinya sebagai solidariti kepada rakyat Malaysia yang bergelut dengan kenaikan harga barang.

Menurut The Vibes, presiden PKR itu mendakwa rakyat muak dengan perdana menteri menjalani gaya hidup mewah manakala rakyat biasa bergelut dari segi kewangan.

“Saya akan malu untuk mengambil gaji perdana menteri sedangkan rakyat menderita dengan kenaikan harga barang.

"Dalam Islam, kuasa adalah tanggungjawab, bukan keistimewaan," kata Encik Anwar kepada orang ramai semasa ceramah kempen pilihan raya di Kalabakan, Sabah semalam (12 Nov).

Ahli politik veteran itu berikrar akan menukar politik Malaysia jika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan persekutuan kerana tidak akan ada lagi kabinet yang mempunyai ramai menteri dan timbalan menteri seperti kerajaan terdahulu.

“Terdapat 70 menteri di bawah BN. Apakah yang telah mereka lakukan? Rakyat menderita dengan kenaikan harga barang tetapi 70 menteri tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu keadaan,” katanya dalam laporan The Vibes seperti ditukil Malaysiakini.

RASUAH HAMBAT KEMAJUAN SABAH

Dalam pada itu, Encik Anwar menegaskan bukan sukar untuk membangunkan Sabah tetapi ia dihalang oleh rasuah.

“Apa yang susah sangat? Malaysia sudah merdeka hampir 60 tahun. (Bahagian tertentu di Sabah) mempunyai jalan raya yang teruk, tiada bekalan elektrik dan air dan hospital jauh.

"Jika tidak ada yang mencuri wang, wang itu (untuk pembangunan) sudah memadai," katanya.

Encik Anwar menambah walaupun terdapat rakyat yang terperangkap dalam kemiskinan di Semenanjung, tidak boleh dipertikaikan bahawa Sabah telah diabaikan dari segi pembangunan.

Beliau berikrar akan membawa pembangunan ke negeri itu jika dilantik sebagai perdana menteri.

Di kerusi Parlimen Kalabakan, PH meletakkan Noraini Abdul Ghapur, anak sulung bekas Ahli Parlimen UMNO kawasan itu, Abdul Ghapur Salleh.

Bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Noraini akan bertanding lima penjuru dengan penyandang Ma'mun Sulaiman (Warisan), Andi Muhammad Suryady Bandy (UMNO), Nur Aini Abdul Rahman (Pejuang) dan Muhammad Dhiauddi N Hassan (calon bebas).
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan