Skip to main content

Dunia

JI terap ideologi mendalam, sukar "cuci bersih" fahaman: pakar

Anggaran Waktu Membaca:
 JI terap ideologi mendalam, sukar "cuci bersih" fahaman: pakar

(Gambar: AFP/FAJRIN RAHARJO)

Diterbitkan : 18 May 2024 08:13AM
KUALA LUMPUR: Ideologi dan doktrin yang diterapkan Jemaah Islamiyah (JI) secara mendalam dan berterusan kepada ahli-ahlinya sejak sekian lama, menjadi antara faktor yang menyukarkan proses untuk “mencuci bersih” sepenuhnya fahaman dibawa kumpulan berkenaan. 

Penolong Profesor di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM) Dr Ahmad El Muhammady berkata perkara itu menyebabkan terdapat saki-baki dari aspek fahaman atau ahli kumpulan yang masih wujud sehingga hari ini. 

Pakar antikeganasan itu berkata JI, yang disifatkan beliau sebagai pertubuhan pengganas paling sofistikated di rantau ini, mempunyai struktur yang tersusun dengan pengurusan kewangan, proses merekrut ahli yang sangat canggih dan lebih ke depan berbanding kumpulan pengganas baharu. 

“Kalau kita bandingkan dengan kumpulan-kumpulan akhir ini sepert ISIS, Daesh, ia tak boleh sepadan dengan JI, JI kumpulan yang mempunyai disiplin sangat tinggi. Secara organisasinya, kita boleh hapuskan dan menangkap dan sebagainya.

“Tapi amat sukar hapuskan pemikiran mereka, jadi ideologi itu masih lagi wujud, sama ada dalam bentuk penulisan, yang difahami dan dipercayai oleh beberapa bekas ahli kumpulannya,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini dengan tajuk "Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Bahaya Ideologi Ekstremis" terbitan Bernama TV pada Jumaat (17 Mei).

Sementara itu, Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata insiden yang berlaku di Ulu Tiram, Johor hari ini (17 Mei) adalah bukti ideologi JI masih hidup dalam kalangan masyarakat terutama di kawasan berkenaan. 

“Kita boleh memenjarakan seseorang secara fizikal, tapi secara spiritual mentalnya masih lagi bebas dan ia boleh menerima pelbagai ideologi, amat sukar untuk kita hapuskan ideologi ekstrim yang ada pada kelompok dan individu.

“Kita juga harus faham bahawa ideologi esktrim ini tidak lagi dieksport secara besar-besaran, tapi hari ini boleh dieksport secara individu dan sudah ramai menjadi 'lone-wolf terrorism' iaitu mereka yang menjadi ekstrem dan ganas kerana (menerima) indoktrinasi melalui media sosial,” katanya. 

Presiden Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) Meor Chek Hussein Mahayuddin dalam program sama berkata program pendidikan, pencegahan dan pemantauan di sekolah mengenai isu ekstremis perlu diajar seawal usia kanak-kanak lagi.

“Saya rasa sudah tiba masanya kita tegas dalam isu keganasan, kita tidak boleh lalai, kalau kita lalai kita tidak sedar pemikiran ini akan menular kepada anak-anak muda yang inginkan sesuatu yang ingin mereka perjuangkan, dari segi agama atau kumpulan pengganas,” katanya.

Dalam kejadian serangan yang berlaku pada pukul 2.45 pagi pada Jumaat, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun serta suspek yang berumur 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.

Suspek lelaki yang ditembak mati itu dipercayai ahli Jemaah Islamiyah dan serbuan sudah dilakukan di rumah suspek di Ulu Tiram yang membawa kepada penahanan lima anggota keluarganya berumur 19 hingga 62 tahun.
Sumber : Bernama/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita