Skip to main content

Dunia

Jetstar kenakan bayaran bagi bagasi kabin atas tempat duduk mulai Februari 2027

Anggaran Waktu Membaca:
Jetstar kenakan bayaran bagi bagasi kabin atas tempat duduk mulai Februari 2027

Jetstar akan mula mengenakan bayaran kepada penumpang yang mahu menggunakan ruang simpanan bagasi di atas tempat duduk mulai Februari 2027. (Gambar fail: AFP/William West)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 03:21PM
SYDNEY: Jetstar akan mula mengenakan bayaran kepada penumpang yang mahu menyimpan bagasi kabin dalam ruang simpanan di atas tempat duduk mulai 2 Februari 2027.

Di bawah dasar baharu itu, penumpang masih dibenarkan membawa secara percuma satu beg yang boleh diletakkan di bawah tempat duduk, seperti beg galas, beg tangan atau beg komputer riba.

Namun, penumpang yang mahu membawa beg lebih besar untuk disimpan dalam ruang atas perlu membayar antara A$25 (S$21) dengan A$52 (S$44) bagi setiap penerbangan, bergantung pada laluan.

Langkah itu menjadikan dasar bagasi kabin Jetstar lebih serupa dengan beberapa syarikat penerbangan tambang rendah lain yang mengenakan bayaran bagi penggunaan ruang simpanan atas.

Penumpang yang memerlukan bagasi kabin tambahan boleh membeli pilihan "Priority Carry-on", yang membolehkan mereka membawa beg lebih besar untuk disimpan dalam ruang atas serta menikmati keutamaan ketika menaiki pesawat.

Had berat tujuh kilogram yang dikenakan sebelum ini bagi pilihan tersebut juga akan dimansuhkan.

Jetstar menyatakan perubahan itu dibuat selepas kajian melibatkan pelanggan dan kru mendapati proses menimbang beg di pintu pelepasan serta persaingan mendapatkan ruang simpanan atas antara perkara paling menimbulkan tekanan di lapangan terbang.

"Dengan membenarkan pelanggan membawa satu beg di bawah tempat duduk dan menawarkan pilihan 'Priority Carry-on', kami dapat menggunakan ruang simpanan atas dengan lebih baik, melancarkan proses menaiki pesawat dan membantu lebih banyak penerbangan berlepas tepat pada waktunya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Jetstar Stephanie Tully pada Rabu (5 Ogos).

Menurutnya, penumpang hanya perlu membayar mengikut keperluan masing-masing.

Seorang jurucakap Menteri Pengangkutan Australia Catherine King pula berkata syarikat penerbangan perlu memaklumkan dengan jelas sebarang bayaran tambahan ketika tiket dibeli bagi mengelakkan penumpang berdepan kos yang tidak dijangka di lapangan terbang.

Dasar baharu itu akan dikenakan ke atas semua penerbangan Jetstar Airways yang berlepas mulai 2 Februari 2027.

Pelanggan yang sudah membuat tempahan bagi penerbangan selepas tarikh tersebut akan menerima "Priority Carry-on" tanpa bayaran tambahan.

Perubahan itu tidak melibatkan penerbangan yang dikendalikan Jetstar Japan.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita