Skip to main content

Dunia

Jet pejuang buatan China J-10C bakal buat kemunculan sulung di Pertunjukan Udara SG

Anggaran Waktu Membaca:
Jet pejuang buatan China J-10C bakal buat kemunculan sulung di Pertunjukan Udara SG
Anggota tentera berdiri di hadapan pesawat J-10C buatan Chengdu Aircraft Corporation milik Angkatan Udara Tentera Pembebasan Rakyat (PLAAF). (Gambar: Noel Celis/AFP)
Diterbitkan : 27 Jan 2026 11:04PM
BEIJING: Buat julung-julung kalinya, pasukan aerobatik Bayi Angkatan Udara Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China akan membuat persembahan menggunakan pesawat buatan China, J-10C, di Pertunjukan Udara Singapura akan datang.

Selain penyertaan sulung J-10C, pertunjukan lain yang dirancang termasuk 'barrel roll' dalam formasi enam pesawat dan terbang lalu lima pesawat, menurut laporan media China.

“Pergerakan aerobatik ini akan membuat penampilan sulung di Pertunjukan Udara Singapura,” kata Zhang Chunlei, juruterbang pasukan aerobatik Bayi, kepada media tempatan.

Beliau menambah bahawa berbeza dengan 2020 apabila pesawat pasukan itu melakukan persinggahan di beberapa lapangan terbang sebelum tiba di Singapura, kali ini ia akan terbang terus dengan bantuan pengisian bahan api di udara.

Pesawat buatan China itu menjadi tumpuan antarabangsa pada 2025 semasa konflik India-Pakistan selepas varian eksportnya, J-10CE, yang diterbangkan oleh Pakistan, dilaporkan memintas beberapa pesawat yang dikendalikan India, termasuk jet pejuang Rafale buatan Perancis.

Pakar hal ehwal ketenteraan China, Zhang Junshe, memberitahu akhbar Global Times yang dikendalikan pemerintah China bahawa persembahan penerbangan di pertunjukan udara antarabangsa boleh membantu menjana minat bagi perolehannya dari luar negara.

Pada akhir 2025, Bangladesh dan Indonesia mengumumkan rancangan untuk memperoleh jet pejuang J-10C dalam usaha memodenkan kuasa udara mereka.

Pertunjukan Udara Singapura 2026 akan berlangsung dari 3 Februari hingga 8 Februari.

Pertunjukan udara tahun ini akan menampilkan lapan persembahan daripada enam angkatan tentera udara dan dua syarikat komersial.

Persembahan udara akan menampilkan beberapa pasukan aerobatik tentera yang membuat kemunculan semula, termasuk pasukan persembahan helikopter Sarang Tentera Udara India, pasukan aerobatik Jupiter Angkatan Tentera Udara Nasional Indonesia dan pasukan aerobatik Bayi.

Sebuah jet pejuang Sukhoi Su-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan membuat persembahan di pertunjukan udara tersebut buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita