Skip to main content

Dunia

Jerman teroka peluang pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-SG

Johor semakin dilihat sebagai gerbang strategik ke ASEAN, dengan Jerman kini berusaha untuk mempelbagaikan rantaian bekalan global dan mengembangkan perkongsian pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di tengah-tengah krisis rantaian bekalan global serta perang di Timur Tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
Jerman teroka peluang pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-SG

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han (kiri) berjabat tangan dengan Duta Besar Jerman ke Malaysia Silke Riecken-Daerr (kanan) selepas mesyuarat dua hala di Bangunan Dato Jaafar Muhammad di Iskandar Puteri pada 13 Mei 2026. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 14 May 2026 06:52PM
ISKANDAR PUTERI: Johor semakin dilihat sebagai gerbang strategik ke ASEAN, dengan Jerman kini berusaha untuk mempelbagaikan rantaian bekalan global dan mengembangkan perkongsian pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di tengah-tengah krisis rantaian bekalan global serta perang di Timur Tengah.

Duta Besar Jerman ke Malaysia, Silke Riecken-Daerr berkata 70 delegasi perniagaan akan meneroka peluang perniagaan dan pelaburan di zon ekonomi tersebut.

Beliau berkata delegasi peringkat tinggi 'Team Germany' berada di Johor untuk lawatan dua hari bagi meneroka keadaan pelaburan di JS-SEZ.

"Sebagai sebuah negara perdagangan, kami benar-benar berminat untuk mempelbagaikan rantaian bekalan kami, menjalin perkongsian baharu termasuk peluang pelaburan, dan saya fikir Johor adalah calon yang sangat baik untuk itu," kata beliau kepada para pemberita selepas pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han di Bangunan Dato Jaafar Muhammad di Iskandar Puteri, pada Rabu (13 Mei).

Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi dan Duta Besar Jerman ke Singapura, Bettina Fanghanel.

Cik Riecken-Daerr dan Cik Fanghanel turut diiringi wakil dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Jerman, Dewan Perniagaan Singapura-Jerman, Majlis Perniagaan Jerman Johor, Pusat Jerman Singapura, Pelaburan dan Perdagangan Jerman serta wakil-wakil daripada 55 syarikat Jerman yang berpangkalan di Malaysia dan Singapura dalam lawatan bersama yang bermula pada 13 Mei.

Cik Riecken-Daerr berkata pada masa ini terdapat kira-kira 750 syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia, termasuk sekitar 90 syarikat di Johor.

Delegasi itu memerhatikan minat rentas sempadan yang semakin meningkat dalam kalangan syarikat Jerman yang berpangkalan di Singapura untuk mengembangkan operasinya ke Johor, khususnya dalam JS-SEZ.

Cik Riecken-Daerr turut menekankan hubungan maritim Johor, ketersediaan tanah dan tenaga kerja mahir yang berbilang bahasa sebagai antara faktor yang menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Sementara itu, Encik Lee berkata kebanyakan syarikat daripada Jerman yang beroperasi di Johor terlibat dalam industri logistik dan kimia.

Negeri itu juga sudah menerima banyak pelaburan berimpak besar daripada Jerman pada 2025, termasuk syarikat SICK AG dengan pelaburan lebih RM1 bilion (S$324.04 juta) dan tawaran 2,000 peluang pekerjaan.

Sehubungan itu, Encik Lee berkata pertemuan bersama Duta Besar daripada kedua-dua negara itu bukan sahaja akan memberi impak besar dari segi pelaburan, tetapi juga kerjasama dalam membangunkan bakat tempatan menerusi kursus-kursus dalam sektor minyak dan gas.

Kerjasama itu adalah bertepatan memandangkan Jerman merupakan antara kuasa besar dunia dari segi kekuatan perindustrian serta Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Sementara ini fokus adalah kepada industri minyak dan gas, tetapi tentunya, pembuatan termaju seperti automasi, EV (kenderaan elektrik) dan automotif yang mana Jerman sangat-sangat kuat, kita boleh bincang lagi untuk adakan kerjasama," kata Encik Lee.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita