Jerman lancar siasatan selepas dron dengan bahan letupan ditemui di hab kargo udara
Jerman melancarkan siasatan antipengganasan pada Rabu (5 Ogos) selepas sebuah dron yang membawa bahan letupan ditemui berhampiran sebuah landasan di Lapangan Terbang Leipzig/Halle.
Seorang pegawai polis dengan pakaian perlindungan diri berjalan berhampiran robot pelupusan bahan letupan (EOD) di Lapangan Terbang Leipzig/Halle, Jerman, pada 5 Ogos 2026. (Gambar: Reuters/Axel Schmidt)
Penemuan itu menyebabkan sebahagian operasi di salah sebuah hab kargo terbesar Eropah ditutup buat sementara waktu.
Para pekerja lapangan terbang menemui dron tersebut pada waktu malam di kawasan kargo larangan berhampiran landasan sebelah selatan.
Penerbangan kemudian digantung dan beberapa pesawat, termasuk yang dikendalikan syarikat logistik Jerman DHL, dilencongkan ke lapangan terbang lain.
Pihak berkuasa menyatakan tiada ancaman terhadap penumpang atau kakitangan lapangan terbang.
Sebahagian besar operasi disambung semula pada sebelah pagi selepas sebuah landasan dibuka semula.
PESAWAT DHL TERLANGGAR OBJEK
Para penyiasat turut meneliti objek yang dilanggar sebuah pesawat kargo DHL ketika ia berlepas dari kawasan lapangan terbang selepas dilencongkan.
Kerosakan kecil dikesan pada pesawat itu selepas ia mendarat di Hanover.
Landasan sebelah selatan Lapangan Terbang Leipzig/Halle pula kekal ditutup sedang pakar bahan letupan memeriksa dron tersebut dan mengeluarkan alat peledaknya.
Lapangan terbang itu merupakan hab utama bagi DHL dan syarikat penerbangan Ukraine, Antonov Airlines.
Menteri Dalam Negeri Jerman Alexander Dobrindt menjadualkan mesyuarat tergempar bersama ketua-ketua agensi keselamatan negara itu pada Rabu malam.
LAPANGAN TERBANG JERMAN DALAM KEADAAN BERJAGA-JAGA
Lapangan-lapangan terbang di Jerman kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga menyusuli kejadian di mana beberapa dron diterbangkan tanpa kebenaran di sekitar kemudahan tentera, terminal tenaga, pelabuhan dan syarikat logistik.
Polis Persekutuan Jerman sebelum ini menyatakan penerbangan dron tersebut mungkin didalangi ejen Rusia.
Akhbar Jerman Bild melaporkan dron di Leipzig ditemui berhampiran sebuah pesawat kargo Antonov milik Ukraine.
Antonov Airlines menggunakan Leipzig/Halle sebagai pangkalan operasinya sejak Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada 2022.
Menurut Bild, bahan letupan pada dron itu mungkin diperbuat daripada bahan yang mudah diperoleh seperti baja dan petrol.
Pendakwa raya antipelampau dan pegawai antipengganasan mengambil alih siasatan selepas para pakar mengesahkan dron tersebut membawa bahan letupan.
Agensi keselamatan Eropah sebelum ini turut menyiasat beberapa alat pembakar yang disembunyikan dalam bungkusan dan terbakar pada 2024, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai perbuatan sabotaj terhadap pengendali kargo udara.
Sebahagian alat itu ditemui di sebuah gudang DHL di Leipzig dan dalam penghantaran kargo yang sedang melalui Eropah.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Jerman berkata setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada terdapat kaitan antara kejadian-kejadian tersebut dengan penemuan dron terbaharu itu.
Rusia menafikan sebarang penglibatan dalam insiden pada 2024 serta kejadian penerbangan dron tanpa kebenaran baru-baru ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.