Jerman gesa pertahanan Eropah diperkukuh setelah Amerika rancang undur tentera
Pengunduran tentera Amerika yang dirancang dari Jerman seharusnya mendorong negara-negara Eropah untuk mengukuhkan pertahanan mereka secara lebih lanjut, kata Menteri Pertahanan Jerman Boris Pistorius pada Sabtu (2 Mei), menyusuli tindakan terkini Washington terhadap hubungan rentas atlantik.
Beberapa askar berdiri di sebelah pagar kawat berduri semasa latihan Penyelesaian Gabungan Tentera Amerika Syarikat di Hohenfels, Jerman, pada 30 Apr 2026. (Foto fail: Reuters/Angelika Warmuth)
This audio is generated by an AI tool.
Pentagon mengumumkan pada Jumaat (1 Mei) bahawa Amerika Syarikat akan mengundurkan 5,000 askar dari Jerman, iaitu pangkalan Eropah terbesarnya kerana perpecahan berhubung perang Iran dan ketegangan tarif mengeruhkan lagi hubungan antara Amerika Syarikat dengan Eropah.
Encik Pistorius berkata langkah itu dapat dijangkakan.
Encik Trump mengancam untuk mengundurkan tenteranya pada awal minggu ini setelah bertikam lidah dengan Canselor Jerman Friedrich Merz yang menyoal strategi Washington di Timur Tengah.
NATO sedang bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk memahami butiran keputusan pengunduran tentera yang dirancang itu, kata jurucakap Allison Hart pada Sabtu (2 Mei).
"Kami sedang bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk memahami butiran keputusan mereka mengenai atur gerak pasukan di Jerman.
"Perubahan itu menggariskan keperluan bagi Eropah untuk terus melabur lebih banyak dalam pertahanan dan memikul bahagian lebih besar dalam tanggungjawab kami untuk keselamatan bersama - di mana kami sudah pun melihat perkembangan sejak negara-negara sekutu bersetuju untuk melabur 5 peratus GDP di Sidang Puncak NATO di The Hague pada tahun lalu," tulis Encik Hart dalam catatan di platform X.
"Kami tetap yakin dengan keupayaan kami untuk menyediakan pencegahan dan pertahanan sedang peralihan ke arah Eropah yang lebih kuat dalam NATO yang lebih kuat berterusan," katanya.
JERMAN PERKUKUH ASKAR, INFRASTRUKTUR TENTERA
Encik Pistorius berkata pengunduran separa akan menjejas kehadiran Amerika sebanyak hampir 40,000 askar yang ditempatkan di Jerman.
Anggaran lain menyatakan jumlahnya adalah sekitar 35,000.
"Kita negara-negara Eropah harus lebih betanggungjawab atas keselamatan diri," kata Encik Pistorius sambil menambah, "Jerman kini berada di landasan yang betul" dengan mengembangkan pasukan tenteranya, mempercepatkan perolehan tentera dan membina infrastruktur.
Jerman mahu meningkatkan jumlah askar Bundeswehr yang aktif dari 185,000 kepada 260,000.
Ini walaupun para pengkritik terhadap menteri pertahanan negara itu menyeru bagi lebih tindak balas terhadap ancaman dari Rusia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.