Skip to main content

Dunia

Jerebu tebal selubungi New Delhi sehari selepas Diwali

Anggaran Waktu Membaca:
Jerebu tebal selubungi New Delhi sehari selepas Diwali

Orang ramai berjalan pada waktu pagi, sehari selepas perayaan Diwali di New Delhi, India, pada 21 Oktober 2025. (Gambar: AP/Manish Swarup)

NEW DELHI: Jerebu tebal menyelubungi ibu kota India pada Selasa (21 Okt), sehari selepas berjuta-juta orang menyambut perayaan Hindu, Diwali, dengan bunga api yang menyebabkan paras pencemaran udara melonjak ke tahap berbahaya di seluruh bandar.

Penduduk New Delhi membakar bunga api sehingga lewat malam pada Isnin, memenuhi udara dengan asap dan zarah halus yang bercampur dengan pencemaran musiman.

Setakat Selasa pagi, Indeks Mutu Udara (AQI) bandar itu melonjak melebihi 350 di beberapa kawasan - tahap yang dikategorikan sebagai "teruk" dan membahayakan kesihatan untuk dihidu, menurut tahap pendedahan maksimum harian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tahap penglihatan turut merosot di beberapa bahagian bandar apabila jerebu menyelubungi jalan-jalan, bangunan pencakar langit dan monumen bersejarah.

"Saya tak pernah lihat keadaan begini. Kami tak nampak apa-apa di sini disebabkan pencemaran," kata Vedant Pachkande, seorang pelancong yang melawat New Delhi.

Mahkamah tertinggi India minggu lalu melonggarkan larangan menyeluruh terhadap penggunaan bunga api di New Delhi semasa Diwali, dengan membenarkan penggunaan terhad "bunga api hijau" yang menyebabkan kurang pencemaran.

Dihasilkan oleh institut penyelidikan pemerintah, bunga api ini direka untuk mengurangkan pelepasan zarah dan gas kira-kira 30 peratus.

Mahkamah membenarkan penggunaannya hanya pada waktu tertentu dari Sabtu hingga Selasa - namun seperti tahun-tahun sebelumnya, peraturan ini banyak tidak dipatuhi.

New Delhi dan kawasan metropolitan di sekitarnya - dengan lebih 30 juta penduduk - secara rutin tersenarai antara bandar paling tercemar di dunia pada musim sejuk.

Ini disebabkan oleh bunga api sempena Diwali yang bertepatan dengan cuaca lebih sejuk dan asap daripada pembakaran sisa tanaman oleh peladang di wilayah-wilayah berhampiran.

Pihak berkuasa di New Delhi melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan paras pencemaran, termasuk menghadkan aktiviti binaan dan penggunaan penjana diesel.

Namun begitu, aktivis alam sekitar menegaskan bahawa huraian jangka panjang seperti penggunaan tenaga lebih bersih dan kawalan pelepasan kenderaan yang lebih ketat diperlukan bagi menangani krisis tahunan ini.

Pencemaran yang meningkat juga mengurangkan jumlah cahaya matahari yang diterima India, menurut satu kajian terbaharu.

Para saintis India mendapati bahawa jumlah jam cahaya matahari - iaitu tempoh cahaya matahari kuat sampai ke bumi - semakin berkurangan di kebanyakan kawasan di India disebabkan pencemaran udara yang meningkat.

Kajian yang diterbitkan bulan ini dalam Scientific Reports, iaitu jurnal terbitan Nature Portfolio, menyatakan penurunan ini disebabkan peningkatan aerosol - zarah halus daripada pelepasan industri, pembakaran biomas dan pencemaran kenderaan.
Sumber : AP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita