Skip to main content

Dunia

JEREBU RENTAS SEMPADAN: Timor-Leste tutup sekolah 3 hari

Timor-Leste menutup sekolah selama tiga hari bermula Khamis (15 Okt) akibat jerebu tebal yang dibawa angin dari kawasan kebakaran hutan di negara jiran, Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:
JEREBU RENTAS SEMPADAN: Timor-Leste tutup sekolah 3 hari

Jerebu akibat kebakaran hutan menyelubungi kawasan tebing Sungai Kahayan di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, Indonesia, pada 14 Oktober 2026. (Gambar: Reuters/Arief Rahman Septian Prathama)

Diterbitkan : 15 Oct 2026 04:01PM
Transboundary haze: Timor-Leste closes schools for 3 days
  • Timor-Leste closed schools for three days from Thursday, Oct 15, after thick haze from Indonesia's forest fires worsened air quality.
  • In Dili, daily activities continued, but many residents wore masks after Government advice announced on Wednesday, Oct 14.
  • The Government said the move would protect students, teachers and the school community, while residents such as Sonya da Costa Soares supported it for the safety of children.
  • Fires in Sumatra, Kalimantan and Papua, worsened by El Nino, also affected the region; students such as Vitaliano da Costa Calapes studied from home.
Dijana oleh AI
DILI: Timor-Leste menutup sekolah selama tiga hari bermula Khamis (15 Okt) akibat jerebu tebal yang dibawa angin dari kawasan kebakaran hutan di negara jiran, Indonesia.

Di ibu kota Timor-Leste, Dili, orang ramai masih menjalankan kegiatan harian seperti biasa meskipun langit kelihatan kekuningan akibat jerebu.

Bagaimanapun, kebanyakan penduduk memakai pelitup, seperti yang dinasihatkan pemerintah Timor-Leste ketika mengumumkan penutupan sekolah pada Rabu (14 Okt).

Penduduk menyambut baik keputusan itu, walaupun menurut mereka, keadaan pencemaran udara lebih buruk pada awal minggu ini.

"Sejak kebelakangan ini, pencemaran udara di Dili sangat teruk. Kami tidak dapat melihat matahari kerana jerebu terlalu tebal," kata seorang bidan berusia 30 tahun, Sonya da Costa Soares, kepada AFP.

Beliau berkata keputusan menutup sekolah amat penting untuk memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada bahaya pencemaran udara.

KEBAKARAN HUTAN INDONESIA CETUS PENCEMARAN UDARA

Indonesia sering mengalami kebakaran hutan semasa musim kemarau, namun kebakaran tahun ini lebih teruk akibat fenomena El Nino 'super' sehingga menyebabkan kemarau.

Kebakaran itu menjejas beratus-ratus ribu hektar kawasan hutan dan ladang di Sumatra, Kalimantan dan Papua.

Ia turut menyebabkan pencemaran udara meningkat di beberapa kawasan Indonesia serta menjejas mutu udara di Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor-Leste.

Pemerintah Timor-Leste menyatakan pada Rabu (14 Okt) bahawa penutupan sekolah perlu dilaksanakan untuk melindungi kesihatan para pelajar, guru dan anggota masyarakat sekolah yang lain, mengambil kira keadaan mutu udara ketika ini.

Pemerintah turut menggesa keluarga supaya memastikan kanak-kanak berada di dalam rumah dan menasihati orang ramai supaya memakai pelitup apabila mereka keluar.

Seorang pelajar berusia 18 tahun di Kolej St Ignatius Loyola, Vitaliano da Costa Calapes, berkata beliau tetap mengulang kaji pelajaran di rumah sebagai persiapan menghadapi peperiksaan akhir.

"Kami berada di rumah tetapi masih meneruskan pembelajaran. Kami bakal menduduki peperiksaan akhir," katanya.

Beliau berharap keadaan jerebu akan pulih dalam beberapa hari akan datang supaya sekolah dapat dibuka semula seperti biasa.

Seorang lagi penduduk, Felicidade Alves dos Santos Martins, yang anak perempuannya turut terjejas oleh penutupan sekolah, berkata asap kebakaran sebelum ini seolah-olah menyelubungi seluruh Dili dan kawasan pergunungan.

"Pencemaran ini sangat berbahaya dan boleh menyebabkan kami jatuh sakit," katanya.
Sumber : AFP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita