Skip to main content

Dunia

JEREBU RENTAS SEMPADAN: Permintaan tangki oksigen, alat pembersih udara meningkat akibat jerebu di Asia Tenggara

Jerebu berbahaya akibat kebakaran hutan di Indonesia menyebabkan permintaan terhadap tangki oksigen dan alat pembersih udara meningkat dengan ketara di seluruh rantau ini, menurut para pengeluar, yang kini bekerja tanpa henti untuk menyediakan peralatan yang membekalkan udara bersih dan mampu menyelamatkan nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:
JEREBU RENTAS SEMPADAN: Permintaan tangki oksigen, alat pembersih udara meningkat akibat jerebu di Asia Tenggara

Seorang juruteknik memeriksa sebuah alat penumpu oksigen baharu sebelum dihantar kepada pelanggan di sebuah gudang bekalan perubatan di Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2026. (Gambar: AFP/Mohd Rasfan)

Diterbitkan : 18 Oct 2026 09:54PM
TRANSBOUNDARY HAZE: Demand for oxygen tanks and air purifiers rises due to haze in Southeast Asia
  • Months of haze caused by forest fires in Indonesia affected several areas of Southeast Asia, leading to school closures and an increase in respiratory complaints.
  • On the outskirts of Kuala Lumpur, AA Alive reported a 35 per cent rise in oxygen sales and delivered about 40 rental units a day; pollution also shortened the lifespan of oxygen concentrator filters.
  • Juliana Jalaludin, an expert from Universiti Putra Malaysia, is concerned that repeated exposure, especially during childhood, increases the burden of respiratory disease, and stressed the need to reduce exposure for long-term health.
  • Demand for air purifiers also surged after air quality deteriorated from August: Courts recorded a 600 per cent increase from Sep 28 to Oct 12, while sales at Gain City reached nine times the level at the start of the haze season.
Dijana oleh AI
SINGAPURA/KUALA LUMPUR: Jerebu berbahaya akibat kebakaran hutan di Indonesia menyebabkan permintaan terhadap tangki oksigen dan alat pembersih udara meningkat dengan ketara di seluruh rantau ini, menurut para pengeluar, yang kini bekerja tanpa henti untuk menyediakan peralatan yang membekalkan udara bersih dan mampu menyelamatkan nyawa.

Jerebu yang berlarutan selama berbulan-bulan menyelubungi beberapa kawasan di Asia Tenggara, memaksa sekolah ditutup dan menyebabkan peningkatan aduan masalah pernafasan.

Banyak keluarga kini turut bergegas membeli peralatan bagi memastikan udara di dalam rumah kekal bersih.

Di AA Alive, sebuah syarikat peralatan perubatan di pinggir Kuala Lumpur, para pekerja bertungkus-lumus memenuhi permintaan bagi silinder oksigen, menyusuli lonjakan jualan yang mendadak.

"Kami menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 35 peratus disebabkan oleh jerebu," kata Rafina Firdaus, anggota pasukan jualan AA Alive, kepada AFP semasa lawatan ke syarikat tersebut.

"Ketika mula bekerja dalam industri ini, saya terkejut melihat begitu ramai pesakit yang memerlukan tangki oksigen," kata beliau.

Syarikat itu membekalkan tangki oksigen dan alat penumpu oksigen kepada pesakit.

Sebuah tangki oksigen boleh digunakan secara berterusan selama kira-kira tiga jam, manakala alat penumpu oksigen boleh digunakan selama sekitar 24 jam.

Md Noor Bin Bujang, 69 tahun, menghabiskan lebih sebulan di hospital dan menerima alat penumpu oksigen pertamanya pada petang Khamis (15 Okt).

Beliau memberitahu AFP, tanpa peralatan yang membekalkan oksigen itu, beliau akan mengalami "sesak nafas, terutama sekali dalam keadaan berjerebu".

Mubassar Khan, 26 tahun, seorang juruteknik AA Alive, berkata penapis alat penumpu oksigen biasanya diganti selepas 1,000 jam penggunaan, namun bahan pencemar dalam jerebu memendekkan jangka hayat penapis tersebut kepada separuh.

AA Alive kini menghantar sekitar 40 unit sewaan setiap hari. Kata Cik Rafina, syarikat itu mampu memenuhi peningkatan permintaan akibat jerebu kerana mereka "sudah mengalaminya setiap tahun".

Wartawan AFP melihat hampir 60 alat penumpu oksigen dan sekitar 20 tangki oksigen yang perlu disenggara atau diganti di bilik pameran dan gudang syarikat tersebut.

'PENINGKATAN MENDADAK'

Para pakar memberi amaran bahawa pendedahan berpanjangan kepada bahan pencemar dalam jerebu boleh menyebabkan keradangan yang memudaratkan tubuh, dengan seorang pakar menyifatkan keadaan itu sebagai "ancaman kesihatan awam yang menjejas pelbagai sistem tubuh".

Juliana Jalaludin, seorang profesor yang mengkhusus dalam bidang kesihatan sekitaran di Universiti Putra Malaysia, memberitahu AFP bahawa beliau bimbang generasi akan datang mungkin "menghadapi beban penyakit pernafasan yang lebih tinggi jika mereka berulang kali terdedah kepada jerebu dan pencemaran udara, terutama semasa zaman kanak-kanak".

"Yang penting adalah untuk mengurangkan pendedahan sekarang bagi melindungi kesihatan kanak-kanak dan mencegah kesan jangka panjang terhadap generasi akan datang," kata Profesor Juliana.

Sementara itu, para peruncit alat pembersih udara berkata jualan meningkat sejak mutu udara mula merosot pada Ogos akibat keadaan berjerebu.

"Baru-baru ini, kami menyaksikan peningkatan sebanyak 600 peratus dalam jumlah jualan alat pembersih udara... dari 28 September hingga 12 Oktober, berbanding tempoh yang sama tahun lalu," menurut peruncit barangan elektronik serantau, Courts, dalam satu kenyataan.

"Para pelanggan semakin sedar tentang kepentingan mutu udara di dalam rumah dan giat mencari penyelesaian bagi memastikan persekitaran kediaman yang lebih sihat dan selesa," kata seorang jurucakap Courts kepada AFP.

Peruncit yang berpangkalan di Singapura, Gain City, berkata pihaknya turut menyaksikan "peningkatan ketara dalam permintaan bagi alat pembersih udara".

"Permintaan mula meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan lonjakan yang amat ketara mulai 9 Oktober. Sejak itu, jualan meningkat kepada sembilan kali ganda berbanding paras yang dicatatkan pada permulaan musim jerebu pada Ogos," menurut syarikat tersebut.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita