Skip to main content

Dunia

JEREBU RENTAS SEMPADAN: Johor kekal negeri paling terjejas di Malaysia; 8 kawasan catat bacaan tidak sihat

Anggaran Waktu Membaca:
JEREBU RENTAS SEMPADAN: Johor kekal negeri paling terjejas di Malaysia; 8 kawasan catat bacaan tidak sihat

Johor kekal sebagai negeri yang paling terjejas dengan lapan kawasan merekodkan bacaan tidak sihat. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 14 Oct 2026 09:49AM
TRANSBOUNDARY HAZE: Johor remains the worst-affected state in Malaysia; 8 areas record unhealthy readings
  • As of 7am on Wednesday (Oct 14), APIMS reported that 27 areas in Malaysia recorded unhealthy Air Pollutant Index (API) readings, with Pasir Gudang registering the highest at 176.
  • Johor was the worst affected, with eight areas recording unhealthy readings, while Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, the Federal Territories, Terengganu, Pahang and Sarawak also recorded worrying readings.
  • In addition, 40 stations were at the moderate level, including Sandakan, Kuala Terengganu and Samarahan, while only Langkawi recorded a good level with an API reading of 41.
  • APIMS classifies API readings according to health ranges, and the public, especially children, senior citizens and respiratory patients, were advised to reduce outdoor activities and wear masks.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 kawasan di seluruh Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 7.00 pagi Rabu (14 Okt), dengan Pasir Gudang di Johor mencatat bacaan tertinggi iaitu 176.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan lain yang turut mencatat bacaan tidak sihat termasuk Nilai, Negeri Sembilan (173), Johan Setia, Selangor (172), Klang, Selangor (170) dan Bukit Rambai, Melaka (169).

Di Wilayah Persekutuan, Cheras merekodkan bacaan IPU 165 manakala Putrajaya mencatat 164 dan Batu Muda 162.

Johor kekal sebagai negeri yang paling terjejas dengan lapan kawasan merekodkan bacaan tidak sihat, termasuk Larkin (165), Kota Tinggi (165), Pengerang (162), Batu Pahat (155), Kluang (152) dan Tangkak (152).

Di Selangor, tujuh kawasan mencatat tahap tidak sihat iaitu Johan Setia, Klang, Banting (160), Shah Alam (158) dan Petaling Jaya (152).

Negeri Sembilan turut merekodkan tiga kawasan tidak sihat membabitkan Nilai, Port Dickson (164) dan Seremban (159), manakala Melaka mencatat tiga kawasan iaitu Bukit Rambai (169), Bandaraya Melaka (164) dan Alor Gajah (155).

Turut mencatat bacaan tidak sihat ialah Kemaman (155) dan Paka (154) di Terengganu, Rompin (153) dan Indera Mahkota, Kuantan (153) di Pahang, serta IPD Serian (153) dan Sri Aman (140) di Sarawak.

Sementara itu, 40 stesen merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana, dengan bacaan tertinggi direkodkan di Sandakan, Sabah iaitu 96, diikuti Kuala Terengganu (94) dan Samarahan, Sarawak (94).

Hanya satu kawasan berada pada tahap baik iaitu Langkawi, Kedah dengan bacaan IPU 41.

Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 berbahaya.

Orang ramai khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit pernafasan dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup ketika keadaan jerebu berterusan.
Sumber : Bernama/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita