Skip to main content

Dunia

JEREBU RENTAS SEMPADAN: Indonesia rekod 354 titik panas, mutu udara masih membimbangkan

354 titik panas dikesan di seluruh Indonesia setakat 9.00 malam pada Khamis (16 Okt), sedang beberapa kawasan di Kalimantan dan Sumatra terus mencatatkan mutu udara pada paras sangat tidak sihat hingga berbahaya akibat kebakaran hutan dan tanah.

Anggaran Waktu Membaca:
JEREBU RENTAS SEMPADAN: Indonesia rekod 354 titik panas, mutu udara masih membimbangkan

Penunggang motosikal meredah kepulan asap daripada kebakaran di Kampung Sungai Tabuk, Kabupaten Banjar, Kalimantan Selatan, pada 16 Oktober 2026. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Oct 2026 12:51PM Dikemas Kini : 18 Oct 2026 10:37AM
Transboundary haze: Indonesia records 354 hotspots, air quality remains worrying
  • Indonesia’s Ministry of Forestry reported 354 hotspots nationwide on 16 October, down 55.7 per cent from 799 the previous day, although the number in South Sumatra rose to 132.
  • Air quality remained very unhealthy to hazardous in several areas of Kalimantan and Sumatra due to forest and plantation fires.
  • To extinguish the fires, 61 aircraft were deployed, including 44 for water bombing and 17 for aerial patrols and weather modification.
  • Haze also blanketed Jakarta, Banten and West Java. Limited visibility led to the cancellation of two Jakarta-Ternate flights, while the ISPU reading at Tanjung Priok reached 156 on the morning of 17 October.
Dijana oleh AI
JAKARTA: 354 titik panas dikesan di seluruh Indonesia setakat 9.00 malam pada Khamis (16 Okt), sedang beberapa kawasan di Kalimantan dan Sumatra terus mencatatkan mutu udara pada paras sangat tidak sihat hingga berbahaya akibat kebakaran hutan dan ladang.

Kementerian Perhutanan Indonesia menyatakan pemantauan terkini oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menunjukkan pencemaran udara yang serius masih berterusan di beberapa wilayah yang terjejas.

Menurut kementerian itu, mutu udara pada paras sangat tidak sihat hingga berbahaya masih direkodkan di Kalimantan Tengah dan beberapa kawasan di Kalimantan Selatan.

Keadaan serupa turut dilaporkan di Sumatra Selatan dan Jambi.

JUMLAH TITIK PANAS TURUN 55.7 PERATUS

Data sistem pemantauan Kementerian Perhutanan menunjukkan jumlah titik panas menurun sebanyak 445, atau 55.7 peratus, daripada 799 pada Khamis (15 Okt) kepada 354 setakat 9.00 malam pada Jumaat (16 Okt).

Bagaimanapun, Sumatra Selatan mencatatkan jumlah titik panas tertinggi, iaitu 132, meningkat daripada 122 sehari sebelumnya.

Kalimantan Tengah pula merekodkan penurunan ketara daripada 389 kepada 19 titik panas.

Sebanyak 24 titik panas dikesan di Kalimantan Barat dan dua di Jambi, manakala tiada titik panas direkodkan di Kalimantan Selatan serta Riau.

61 PESAWAT DIKERAH UNTUK PADAM KEBAKARAN

Kementerian Perhutanan Indonesia menyatakan 61 pesawat masih dikerahkan bagi operasi pemadaman kebakaran dan tugas berkaitan.

Daripada jumlah itu, 44 pesawat digunakan untuk operasi pengeboman air, manakala 17 lagi bagi rondaan udara dan operasi pengubahsuaian cuaca.

55 pesawat ditempatkan di wilayah yang diberi keutamaan dalam operasi pemadaman kebakaran, sementara enam lagi ditugaskan di kawasan lain.

ASAP KEBAKARAN JEJAS JAKARTA, PENERBANGAN DIBATALKAN

Sementara itu, media tempatan melaporkan semalam bahawa asap daripada kebakaran hutan dan ladang turut merebak ke ruang udara Jakarta, Banten dan Jawa Barat, dengan memetik BMKG.

Dua penerbangan domestik antara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta dengan Ternate di Maluku Utara turut dilapor dibatalkan akibat jarak penglihatan terhad.

Menurut laman rasmi pemantauan mutu udara Jabatan Sekitaran Hidup Jakarta, beberapa kawasan di ibu negara Indonesia itu mencatatkan mutu udara tidak sihat pada pagi Sabtu (17 Okt).

Bacaan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) di Tanjung Priok, Jakarta Utara, mencecah 156 setakat 6.30 pagi waktu tempatan.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita