Skip to main content

Dunia

JEREBU RENTAS SEMPADAN: Indonesia pertimbang luaskan penggunaan ais kering selepas didapati 'agak berkesan'

Anggaran Waktu Membaca:
JEREBU RENTAS SEMPADAN: Indonesia pertimbang luaskan penggunaan ais kering selepas didapati 'agak berkesan'

Para penunggang motosikal yang memakai pelitup muka melintasi sebuah jambatan ketika jerebu akibat kebakaran hutan menyelubungi kawasan Palembang, Sumatra Selatan, Indonesia, pada 15 Oktober 2026. (Gambar: Reuters/Abriansyah Liberto)

Diterbitkan : 19 Oct 2026 02:02PM
Transboundary haze: Indonesia considers expanding dry ice use after it is found to be ‘fairly effective’
  • The National Disaster Management Agency (BNPB) is assessing whether to expand the use of dry ice after two weather modification tests in South Sumatra were considered fairly effective in producing rain and helping to extinguish fires.
  • President Prabowo has ordered the assessment to continue, while BNPB chief Kristomei Sianturi said operations would continue until rain falls and the fires are successfully extinguished.
  • In Palembang, about 1.6 tonnes of dry ice are used a day, but visibility and air quality fluctuate; flight conditions are an indicator of effectiveness.
  • The method aims to disperse haze that disrupts flights by allowing smoke to rise higher into the atmosphere. If it is effective and not too expensive, its use may be expanded across Indonesia.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Menyusuli kejayaan ujian penggunaan ais kering, pihak berkuasa Indonesia sedang menimbangkan untuk memperluaskan penggunaannya ke lebih banyak kawasan yang terjejas akibat kebakaran hutan.

Ketua baharu agensi pengurusan bencana Indonesia, Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Kristomei Sianturi, berkata pada Ahad (18 Okt) bahawa teknologi pengubahsuaian cuaca yang sudah digunakan sebanyak dua kali di wilayah Sumatra Selatan terbukti "agak berkesan", menurut laporan media tempatan.

Beliau menambah Presiden Indonesia Prabowo Subianto sudah mengarahkan agensi itu supaya terus menilai keberkesanan teknologi tersebut dalam menghasilkan hujan dan membantu usaha memadamkan kebakaran.

"Kami akan terus menjalankan operasi (pengubahsuaian cuaca) ini dengan seberkesan mungkin sehingga hujan turun dan kebakaran berjaya dipadamkan," kata Encik Kristomei kepada para wartawan di Palembang, seperti dipetik oleh saluran berita Indonesia, Bisnis.

"Jika teknologi ini dianggap berkesan, tidak memerlukan kos yang terlalu tinggi dan boleh digunakan di seluruh Indonesia, mengapa tidak?" katanya seperti dilaporkan Antara.

Gabenor Sumatra Selatan, Herman Deru, berkata pada Ahad bahawa kira-kira 1.6 tan ais kering digunakan setiap hari, dengan jarak penglihatan di Palembang mencecah 6,000 meter.

Ketua Stesen Meteorologi Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II di Palembang, Siswanto, melaporkan hasil yang berbeza-beza, dengan jarak penglihatan dan mutu udara berubah-ubah sepanjang operasi tersebut.

Menurut beliau, jarak penglihatan bertambah baik pada waktu tertentu, namun kembali merosot menjelang petang.

Beliau menambah bahawa operasi penerbangan di lapangan terbang itu boleh dijadikan petunjuk bagi menilai keberkesanan penggunaan ais kering.

Lapangan terbang tersebut merupakan antara lokasi keutamaan bagi operasi pembenihan awan menggunakan ais kering kerana jerebu sudah menjejas operasi penerbangan, menurut laporan media tempatan.

Pihak berkuasa sebelum ini menyatakan ais kering, atau karbon dioksida pepejal, sedang diuji sebagai kaedah alternatif untuk menyuraikan jerebu dengan melemahkan keadaan atmosfera yang memerangkap asap berhampiran permukaan bumi.

Kaedah itu berpotensi membolehkan asap naik ke lapisan atmosfera yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan jarak penglihatan.

Sumatra Selatan merupakan antara enam wilayah yang diberi keutamaan oleh Indonesia dalam usaha mencegah dan menangani kebakaran hutan serta ladang, selain Riau, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Sumatra Selatan juga merupakan wilayah pertama di Indonesia yang dipilih untuk menguji teknik penggunaan ais kering tersebut.

Menteri Koordinator Politik Dan Keamanan Indonesia Dudung Abdurachman, sebelum ini berkata ujian tersebut dijalankan atas arahan langsung Presiden Prabowo bagi mempercepatkan usaha mengurangkan kesan kebakaran.
Sumber : AGENCIES/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita