Skip to main content

Dunia

Jerebu rentas sempadan: Indonesia, Malaysia tumpukan operasi pembenihan awan

Indonesia mengesahkan kerjasama dengan Malaysia sedang dijalankan bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan, dengan tumpuan segera diberikan kepada operasi pembenihan awan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Jerebu rentas sempadan: Indonesia, Malaysia tumpukan operasi pembenihan awan

Operasi pembenihan awan dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha menangani keadaan cuaca kering dan jerebu. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 28 Aug 2026 08:29PM
  • Indonesia dan Malaysia bekerjasama menangani jerebu rentas sempadan, dengan fokus kepada operasi pembenihan awan di kawasan sempadan.
  • Kerjasama ini diperkukuh selepas kebakaran hutan di Kalimantan Barat menjejaskan mutu udara di Sarawak dan beberapa negeri di Malaysia.
  • Malaysia menawarkan bantuan memadam kebakaran dan telah diberi kebenaran memasuki ruang udara Indonesia untuk operasi awan, namun permohonan rasmi bantuan pengeboman air belum dibuat.
  • Konsulat Malaysia di Pontianak melaporkan keadaan jerebu semakin buruk, dan langkah berjaga-jaga diambil untuk melindungi rakyat Malaysia di Kalimantan Barat.
Dijana oleh AI
JAKARTA: Indonesia mengesahkan kerjasama dengan Malaysia sedang dijalankan bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan, dengan tumpuan segera diberikan kepada operasi pembenihan awan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Langkah itu diambil selepas asap daripada kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Barat menjejas mutu udara di Sarawak.

Setakat 9.00 pagi Jumaat (28 Ogos), bacaan Indeks Pencemaran Udara di sesetengah kawasan mencecah 195, menghampiri paras sangat tidak sihat yang bermula pada bacaan 201.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia, Berton Panjaitan berkata perbincangan dengan Malaysia diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menangani keadaan jerebu.

"Mengenai isu jerebu, komunikasi dengan negara jiran terus berjalan. Perbincangan dua hala dengan Malaysia telah diadakan dan kami bersetuju untuk memperkukuh kerjasama termasuk dari segi pencegahan, pemantauan serta sokongan bagi operasi pembenihan awan," kata Encik Berton.

Malaysia turut menawarkan bantuan bagi usaha memadamkan kebakaran.

Bagaimanapun, menurut Encik Berton, Indonesia belum membuat permohonan rasmi bagi mendapatkan aset pemadaman secara langsung seperti bantuan pengeboman air.

Indonesia kekal terbuka kepada kerjasama sekiranya bantuan sedemikian diperlukan.

MALAYSIA DIBENAR MASUK RUANG UDARA INDONESIA

Pada Isnin (24 Ogos), Malaysia dan Indonesia bersetuju mempergiat langkah pencegahan dan pemadaman kebakaran bagi menangani jerebu rentas sempadan.

Persetujuan itu dicapai selepas perbincangan antara Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia Arthur Joseph Kurup dengan Menteri Alam Sekitar Indonesia Jumhur Hidayat.

Encik Arthur berkata Indonesia turut memberikan kebenaran kepada Malaysia untuk memasuki ruang udaranya bagi menjalankan operasi pembenihan awan.

Jerebu turut menjejas beberapa kawasan di Malaysia, termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak, yang mencatatkan kualiti udara tidak sihat.

JEREBU DI KALIMANTAN SEMAKIN BURUK

Konsulat Malaysia di Pontianak pula menyatakan keadaan jerebu di Kalimantan semakin buruk tahun ini selepas tiada jerebu teruk dilaporkan pada 2024 dan 2025.

Menurut konsulat itu, langkah berjaga-jaga termasuk memakai pelitup muka, menjalankan pembelajaran sekolah secara online serta mengurangkan pergerakan dan kegiatan di luar kecuali jika perlu.

Seramai 577 rakyat Malaysia berdaftar di Kalimantan Barat, manakala sebahagian besar warga Malaysia yang menetap di seluruh Kalimantan merupakan ekspatriat.

Malaysia sebelum ini turut menyokong usaha pemadaman kebakaran di wilayah itu, dengan Konsulat Malaysia menyumbangkan enam pam air kepada Pejabat Gabenor Kalimantan Barat pada 2023 bagi membantu menangani kebakaran hutan.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita