Skip to main content

Dunia

JEREBU RENTAS SEMPADAN: Indonesia lantik ketua baharu agensi bencana; rombakan ketiga Prabowo dalam sebulan

Anggaran Waktu Membaca:
JEREBU RENTAS SEMPADAN: Indonesia lantik ketua baharu agensi bencana; rombakan ketiga Prabowo dalam sebulan

Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyampaikan ucapan semasa sidang media di Istana Presiden di Bogor, Indonesia, pada 11 Jan 2025. (Gambar: Reuters/Ajeng Dinar Ulfiana)

Diterbitkan : 15 Oct 2026 07:11PM
Transboundary haze: Indonesia appoints new disaster agency chief; Prabowo's third reshuffle in over a month
  • President Prabowo Subianto appointed Kristomei Sianturi as the new BNPB chief on Oct 15, replacing Suharyanto in his third reshuffle in just over a month.
  • The appointment came as BNPB was dealing with forest and land fires in Kalimantan and Sumatra, which caused thick haze in several parts of Southeast Asia.
  • The reshuffle also took place amid a KPK investigation into five suspects in a BNPB disaster preparedness fund procurement case, including Bima Setyawan, Suharyanto's younger brother.
  • Prabowo also appointed deputy ministers for defence, agriculture and immigration, as well as Satyawan Pudyatmoko to head BPGMN, continuing a series of reshuffles since September.
Dijana oleh AI
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, melantik ketua baharu Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) pada Khamis (15 Okt), dalam rombakan ketiga melibatkan anggota Kabinet dan pegawai kanan pemerintah dalam tempoh lebih sebulan.

Kristomei Sianturi dilantik menggantikan Suharyanto sebagai ketua BNPB, sebuah agensi utama yang sedang menangani kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan dan Sumatra.

Kebakaran tersebut menyebabkan jerebu tebal menyelubungi beberapa kawasan di Asia Tenggara.

Encik Kristomei merupakan seorang jeneral tentera yang sebelum ini berkhidmat sebagai Panglima Komando Daerah Militer XXI/Radin Inten (Radin Inten Regional Military Command), jawatan yang disandangnya sejak Ogos tahun lalu.

Pelantikan itu dibuat ketika suruhanjaya pembanterasan rasuah Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia memberkas lima suspek dalam kes berkaitan perolehan barangan dan perkhidmatan menggunakan dana kesiapsiagaan bencana di BNPB.

Seorang daripada suspek, Bima Setyawan, merupakan adik lelaki kepada Encik Suharyanto, yang dilantik mengetuai BNPB pada 2021.

ROMBAKAN TURUT LIBATKAN BEBERAPA JAWATAN KANAN

Encik Prabowo turut melantik timbalan menteri baharu bagi portfolio pertahanan, pertanian dan imigresen pada Khamis (15 Okt).

Beliau juga melantik Satyawan Pudyatmoko sebagai ketua baharu agensi pengurusan tanah gambut dan bakau nasional Badan Pengelola Gambut dan Mangrove Nasional (BPGMN).

Encik Satyawan sebelum ini berkhidmat sebagai Direktur Jenderal Konservasi Sumber Daya Alam dan Ekosistem (Ketua Pengarah Pemuliharaan Sumber Asli dan Ekosistem) di Kementerian Kehutanan Indonesia.

Rombakan terbaharu itu menyusuli perubahan Kabinet pada 1 Oktober lalu, yang menyaksikan pelantikan menteri luar dan menteri perindustrian baharu, beberapa menteri koordinator (penyelaras) serta lapan pemimpin kanan agensi pemerintah dan pasukan polis.

Pada 14 September lalu, Encik Prabowo menggugurkan menteri kewangan ketika itu, Purbaya Yudhi Sadewa, dan melantik timbalannya, Suahasil Nazara, sebagai pengganti.

Rombakan pada Khamis (15 Okt) merupakan rombakan kelapan sejak Encik Prabowo mula memegang jawatan presiden Indonesia pada 20 Oktober 2024.
Sumber : CNA/FD/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita