Skip to main content

Dunia

Jerebu: Operasi pembenihan awan diteruskan ikut nasihat MetMalaysia, kata Ahmad Zahid

Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Sarawak akan terus dilaksanakan mengikut kesesuaian pergerakan angin dan kedudukan awan bagi membantu mengurangkan keadaan jerebu di negeri tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Jerebu: Operasi pembenihan awan diteruskan ikut nasihat MetMalaysia, kata Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berharap Operasi Pembenihan Aawan dapat terus membantu menurunkan tahap Indeks Pencemar Udara (IPU) di Sarawak, khususnya menjelang sambutan Hari Malaysia di Kuching. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 06 Sep 2026 03:09PM
  • Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Operasi Pembenihan Awan (OPA) diteruskan di Sarawak bagi menangani jerebu, berpandukan nasihat MetMalaysia.
  • Operasi ini dilaksanakan mengikut pergerakan angin dan kedudukan awan untuk menurunkan tahap Indeks Pencemar Udara (IPU), terutama di Kuching dan Sri Aman yang mencatat bacaan amat tidak sihat.
  • Pengisytiharan darurat telah dibuat di Serian oleh Yang di-Pertuan Agong berikutan pencemaran udara yang membahayakan kesihatan.
  • Ahmad Zahid berharap usaha ini dapat membantu menjelang sambutan Hari Malaysia, dengan penurunan tahap jerebu sudah mula dilihat di Sri Aman.
Dijana oleh AI
ISKANDAR PUTERI: Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Sarawak akan terus dilaksanakan mengikut kesesuaian pergerakan angin dan kedudukan awan bagi membantu mengurangkan keadaan jerebu di negeri tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata pelaksanaan operasi berkenaan dibuat berdasarkan nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“OPA terus dijalankan mengikut luruan angin dan awan itu berada. Kita mendapat nasihat daripada MetMalaysia untuk pembenihan awan dilakukan mengikut luruan angin,” kata beliau di Iskandar Puteri, pada Ahad (6 Sep).

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di EduCity Sports Complex, di Iskandar Puteri yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Encik Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Sarawak ketika ini berdepan fenomena jerebu dengan Kuching dan Sri Aman antara kawasan yang mencatatkan tahap amat tidak sihat.

Bagaimanapun Encik Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata keadaan jerebu di Sri Aman sudah menunjukkan penurunan.

Beliau berharap OPA dapat terus membantu menurunkan tahap Indeks Pencemar Udara (IPU) di Sarawak, khususnya menjelang sambutan Hari Malaysia di Kuching.

Sebanyak dua kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap amat tidak sihat setakat pukul 8.00 pagi pada Ahad dengan Kuching mencatatkan bacaan IPU 235 dan Sri Aman merekodkan bacaan 216.

Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) pada Ahad, 35 kawasan di lapan negeri dan tiga Wilayah Persekutuan mencatatkan IPU pada tahap tidak sihat.

Khamis lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim membenarkan pengisytiharan darurat di seluruh bahagian Serian, berikutan keadaan jerebu yang sudah mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita