Jerebu Malaysia: Sekolah di Johor ditutup jika IPU melebihi 200
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor menetapkan penutupan sekolah di seluruh negeri berkenaan hanya akan dilaksanakan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 200, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Beberapa daerah di Johor merekodkan bacaan IPU pada paras tidak sihat. (Gambar fail: Bernama)
- JPN Johor menetapkan sekolah hanya akan ditutup jika bacaan IPU melebihi 200, mengikut SOP yang sedia ada.
- PPD dan sekolah diarahkan sentiasa mengemas kini bacaan IPU serta menyalurkan maklumat kepada ibu bapa, pelajar dan guru.
- Kerajaan negeri dan JPN turut memantau serta mengurangkan aktiviti luar kelas demi keselamatan murid semasa cuaca panas dan jerebu.
- Jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menangani isu penyenggaraan prasarana sekolah, manakala SMK Suria Jaya di Batu Pahat mula beroperasi selepas 11 tahun terbengkalai.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Muhammad Naqib Md Ghazali berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah diminta sentiasa mengemas kini maklumat bacaan IPU semasa bagi membolehkan makluman pantas disalurkan kepada ibu bapa, pelajar dan guru.
Beliau berkata setakat pagi Isnin (7 Sep), beberapa daerah merekodkan bacaan IPU tahap tidak sihat, iaitu Segamat (157), Batu Pahat (157), Tangkak (153) dan Kluang (151).
“Jadi, kami sudah berbincang dengan JPN. Sekiranya bacaan melebihi 200, sesi persekolahan akan ditutup. PPD dan guru besar perlu segera mewujudkan platform komunikasi yang berkesan supaya isu ini dapat ditangani dengan baik,” kata beliau.
Encik Muhammad Naqib berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya di Batu Pahat, pada Isnin.
Menurut beliau, kerajaan negeri dan JPN turut memantau pelaksanaan aktiviti luar bilik darjah bagi memastikan keselamatan murid terjamin sepanjang fenomena cuaca panas dan keadaam berjerebu.
“Saya difahamkan JPN sudah menyediakan SOP bagi pelaksanaan aktiviti luar dan penutupan sekolah... kami bersedia melaksanakannya. Ketika ini, kita berdepan cuaca panas dan perlu mengambil serius perkara ini. Jika perlu kurangkan aktiviti luar, kita kurangkan,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Encik Muhammad Naqib memaklumkan kerajaan negeri menerusi JPN merancang untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengatasi masalah penyenggaraan prasarana sekolah di Johor.
Beliau berkata jawatankuasa pemantauan di lapangan tersebut akan dianggotai pelbagai pihak termasuk PPD, pengetua dan guru besar bagi memastikan tindakan penyelesaian mengikut keutamaan mendesak dapat dilaksanakan secara berkesan.
Lawatan beliau ke SMK Suria Jaya itu bagi meninjau pembukaan sekolah berkenaan yang sebelum ini dikategorikan sebagai “projek sakit” selepas terbengkalai selama 11 tahun, yang kini mula beroperasi bagi fasa pertama melibatkan 222 pelajar tingkatan satu hingga tiga.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.