Jerebu Malaysia: 40 kawasan catat tahap tidak sihat, paras Samarahan sangat tidak sihat
Tiada kawasan di Malaysia yang mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap berbahaya akibat jerebu setakat pukul 6.00 pagi pada Isnin (7 Sep).
- Setakat 6 pagi Isnin, tiada kawasan di Malaysia mencatat IPU berbahaya, namun Samarahan, Sarawak merekodkan tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 214.
- Secara keseluruhan, 40 kawasan berada pada tahap tidak sihat, 24 sederhana dan dua kawasan pada tahap baik, dengan Sarawak paling terjejas.
- Kawasan lain yang turut terjejas termasuk beberapa daerah di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Johor, Labuan dan Pahang.
- Orang ramai, terutama golongan berisiko, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah perlindungan sepanjang jerebu berterusan.
Bagaimanapun, Samarahan di Sarawak menjadi satu-satunya kawasan yang merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 214.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 40 kawasan di seluruh negara berada pada tahap tidak sihat, manakala 24 kawasan mencatat bacaan sederhana dan dua kawasan berada pada tahap baik.
Sarawak kekal sebagai negeri paling terjejas oleh jerebu. Sebanyak 10 kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat, termasuk Sarikei, Kuching dan IPD Serian yang masing-masing mencatat bacaan 191.
Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Sri Aman (188), Mukah (184), Samalaju (182), Sibu (178), Bintulu (175), ILP Miri (170) dan Limbang (151).
Di Selangor, lima kawasan turut mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu Shah Alam (166), Kuala Selangor (158), Petaling Jaya (157), Banting (156) dan Klang (155).
Beberapa kawasan lain di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan juga berada dalam kategori tidak sihat termasuk Nilai, Negeri Sembilan (166), Batu Muda, Kuala Lumpur (164), Seremban (164), Putrajaya (163), Cheras (161), Tanjung Malim, Perak (160), Segamat, Johor (157), Labuan (157), Batu Pahat, Johor (156), Seri Manjung, Perak (155) dan Jerantut, Pahang (155).
Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar serta mengambil langkah-langkah perlindungan yang sewajarnya ketika keadaan jerebu masih berterusan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.