Jepun, Vietnam meterai perjanjian kerjasama pertahanan di tengah kebimbangan tentang China
Jepun kini boleh memberi peralatan dan teknologi pertahanan kepada Vietnam di bawah satu perjanjian yang ditandatangani pada Sabtu (11 Sep). Kedua-dua negara meningkatkan kerjasama ketenteraan di tengah-tengah kebimbangan mengenai pengaruh ketenteraan China yang semakin meningkat.
Menteri Pertahanan Jepun Nobuo Kishi (Gambar: AP/Kiyoshi Ota)
TOKYO: Jepun kini boleh memberi peralatan dan teknologi pertahanan kepada Vietnam di bawah satu perjanjian yang ditandatangani pada Sabtu (11 Sep). Kedua-dua negara meningkatkan kerjasama ketenteraan di tengah-tengah kebimbangan mengenai pengaruh ketenteraan China yang semakin meningkat.
Menteri Pertahanan Jepun Nobuo Kishi berkata perjanjian itu meningkatkan kerjasama pertahanan kedua-dua negara "ke tahap baru" dan bahawa Jepun dan Vietnam merancang untuk mengukuhkan lagi hubungan pertahanan melalui latihan bersama pelbilang negara dan cara-cara lain.
Perincian mengenai pemindahan peralatan khusus, termasuk kapal tentera laut, akan diperhalusi dalam perbincangan selanjutnya, menurut kementerian itu.
Pertemuan Encik Kishi dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, Phan Van Giang, di Hanoi berlangsung serentak dengan lawatan dua hari Menteri Luar China Wang Yi ke ibu kota Vietnam itu. Encik Wang menggulung lawatannya dengan berkata China merancang untuk menderma 3 juta dos vaksin koronavirus kepada Vietnam.
Perjanjian itu dibuat dua minggu selepas Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris melakukan lawatan ke Vietnam untuk mengukuhkan hubungan dengan negara Asia Tenggara itu. Semasa lawatan tersebut, Cik Harris menggesa negara-negara supaya menentang "pembulian" oleh China di Laut China Selatan.
Menurut satu kenyataan Kementerian Pertahanan Jepun, Encik Kishi dan Encik Giang bersetuju tentang peri pentingnya mengekalkan kebebasan perkapalan dan penerbangan di wilayah Indo-Pasifik, serta kerjasama dalam berbagai bidang pertahanan termasuk keselamatan siber.
Tokyo secara berkala membantah kehadiran pengawal pantai China berhampiran kepulauan Senkaku yang dikuasai Jepun. Kepulauan itu dituntut oleh China, merujuk kepadanya dengan nama Diaoyu.
Para pegawai Jepun berkata kapal China secara rutin menceroboh perairan wilayah Jepun di sekitar pulau tersebut, kadang-kadang mengancam kapal nelayan.
Semasa pertemuan itu, Encik Kishi menyuarakan bantahan kuat Jepun terhadap "sebarang percubaan secara sehala untuk mengubah status quo dengan paksaan atau sebarang kegiatan yang meningkatkan ketegangan", merujuk kepada kegiatan China yang semakin meningkat di Laut China Timur dan Selatan, tetapi tanpa menyebut mana-mana nama negara.
Vietnam adalah negara ke-11 yang mana Jepun telah menandatangani perjanjian pertukaran peralatan dan teknologi pertahanan. Tokyo ingin mengembangkan kerjasama ketenteraan menjangkaui sekutu lamanya Amerika Syarikat, dan telah menandatangani perjanjian serupa dengan Britain, Australia, Filipina dan Indonesia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.