Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jepun tidak akan hantar wakil kerajaan ke Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing

Anggaran Waktu Membaca:

JEPUN: Jepun mengumumkan pada Jumaat (24 Dis) tidak akan menghantar perwakilan kerajaan ke Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing pada Februari depan. 

Jurucakap kerajaan Hirokazu Matsuno, enggan menyebutnya sebagai tindakan pemulauan diplomatik seperti yang dimulakan Amerika Syarikat dan sudah dituruti beberapa sekutunya termasuk Britain, Australia dan Kanada atas alasan rekod buruk hak asasi manusia di China termasuk terhadap golongan minoriti Muslim Uyghur.

"Jepun percaya adalah penting bahawa nilai-nilai yang dikongsi oleh masyarakat antarabangsa seperti kebebasan, hak asasi manusia dan mematuhi undang-undang juga harus dihormati di China," kata beliau.

" Seperti mana Tokyo 2020 mempamerkan kepada dunia bahawa sukan Olimpik dan Paralimpik adalah temasya perdamaian dan kesukanan yang memberi semangat   kepada dunia". 

Beijing telah memberi amaran bahawa empat negara yang mengumumkan boikot diplomatik terhadap Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 akan menanggung kesan daripada pemulauan tersebut.  

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun berkata negaranya membuat keputusan sendiri berdasarkan hasil semakan yang menyeluruh.

Namun begitu, Ketua Olimpik Tokyo 2020, Seiko Hashimoto dan ketua Jawatankuasa Olimpik Jepun, Yasuhiro Yamashita akan menghadiri acara di ibu kota China itu. 

"Hashimoto akan hadir untuk melahirkan  penghormatan dan rasa berbesar hati kepada atlit dan mereka yang menyokong Olimpik Tokyo sebelum ini," kata Matsuno.

Ketua Jawatankuasa Paralimpik Jepun, Kazuyuki Mori juga akan menghadiri Paralimpik Musim Sejuk pada Mac, tambahnya. 

Jurucakap kementerian luar China Zhao Lijian berkata negaranya mengalu-alukan kehadiran Jawatankuasa Olipik Jepun dan pegawai berkaitan yang lain selain atlit Jepun.

Bagaimanapun, keputusan yang dibuat Jepun itu dijangka bakal menegangkan lagi hubungan Jepun-China.

Sumber : Agensi berita/MA/FA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan