Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jepun terbitkan Kertas Putih Pertahanan; dedah keprihatinan kerajaan terhadap keselamatan negara

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun terbitkan Kertas Putih Pertahanan; dedah keprihatinan kerajaan terhadap keselamatan negara

Menteri Pertahanan Jepun Nobuo Kishi (Gambar: AP/Kiyoshi Ota)

TOKYO: Jepun menerbitkan Kertas Putih Pertahanan yang memberi amaran tentang meningkatnya ancaman terhadap keselamatan negara di merata dunia.

Laporan tersebut mendedahkan keprihatinan kerajaan Jepun terhadap keselamatan negara itu.

Kertas Putih itu diterbitkan menjelang permintaan Kementerian Pertahanan Jepun bagi peruntukan belanjawannya pada bulan depan.

Dua isu yang mendapat sorotan utama dalam laporan Kertas Putih itu adalah ketegangan di Selat Taiwan dan pencerobohan Rusia di Ukraine.

Menurut Kertas Putih itu, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine merupakan pencabulan serius terhadap ketenteraman antarabangsa.

Laporan itu menambah, jika tindakan sedemikian dibiarkan, ia boleh memberi isyarat seolah-olah tindakan untuk mengubah 'status quo' secara paksa boleh diterima.

Kertas Putih itu juga menilai bahawa Rusia dijangka mengeratkan hubungannya dengan China.

Jika hal itu terjadi ia boleh mengubah keseimbangan kekuatan tentera di Asia.

Pada masa ini, China dan Rusia sudahpun melakukan latihan tentera laut di sekitar Jepun.

Peralatan terbaru digunakan dengan sebilangannya memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Dalam satu langkah yang jarang dilakukannya,
keadaan tidak menentu di Selat Taiwan dibincangkan secara meluas dalam Kertas Putih Pertahanan itu.

Jepun menyifatkan Beijing sebagai ancaman kepada Taiwan.

Menurut Kertas Putih itu lagi, Jepun sedang memantau dengan teliti tawaran tentera Amerika Syarikat kepada Taiwan serta percubaan pulau itu hendak membangunkan keupayaan tenteranya.

Kertas Putih itu juga menyatakan Jepun komited mahu menambah belanjawan pertahanannya dengan ketara, berdasarkan janji Perdana Menteri Fumio Kishida kepada Presiden Joe Biden semasa lawatan pemimpin Amerika itu ke Tokyo pada Mei lalu.
Sumber : Agensi berita/AI/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan