Skip to main content

Dunia

Jepun tarik balik semua amaran tsunami susuli gempa Rusia

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun tarik balik semua amaran tsunami susuli gempa Rusia

Amaran tsunami dipaparkan pada televisyen di Yokohama, berhampiran Tokyo pada 30 Jul 2025, selepas Jepun mengeluarkan amaran berikutan gempa bumi kuat di luar Semenanjung Kamchatka. (Gambar: AP/Eugene Hoshiko)

TOKYO: Agensi Meteorologi Jepun pada Khamis (31 Jul) menarik balik amaran tsunami terakhir yang dikeluarkan menyusuli gempa bumi bermagnitud 8.8 yang melanda luar pantai Semenanjung Kamchatka, Rusia pada hari sebelumnya, lapor Agensi Berita Kyodo.

Agensi itu sebelum ini mengeluarkan amaran tsunami untuk kawasan-kawasan dari Hokkaido di utara Jepun hingga ke wilayah Wakayama di barat, namun amaran berkenaan diturunkan kepada nasihat berjaga-jaga pada Rabu malam (30 Jul).

Tsunami terus sampai ke pantai, dengan beberapa lokasi mencatat ombak lebih besar pada Khamis.

Sebahagian amaran berjaga-jaga ditarik balik pada pagi Khamis, namun masih berkuat kuasa di kawasan pantai Pasifik di pulau utama utara Hokkaido dan timur laut Jepun.

Sekurang-kurangnya 10 lokasi merekodkan ombak lebih besar berbanding hari sebelumnya, termasuk Pelabuhan Tokachi di Hokkaido dan Oarai di wilayah Ibaraki yang merekodkan ombak setinggi 70 sentimeter.

Ombak tsunami tertinggi yang dicatatkan selepas gempa ialah setinggi 1.3 meter di Pelabuhan Kuji, wilayah Iwate pada petang Rabu.

Selepas amaran tsunami dikeluarkan, seorang wanita berusia 50-an tahun di wilayah Mie dilaporkan maut ketika cuba menyelamatkan diri, manakala 10 lagi cedera, menurut jurucakap utama kerajaan Jepun.

Seramai 11 orang yang dipindahkan ke pusat perlindungan pula dikejarkan ke hospital selepas mengalami gejala akibat cuaca panas melampau.

Beberapa perkhidmatan kereta api masih terganggu, termasuk JR Hokkaido yang menggantung operasi sejak awal pagi di beberapa laluan, sementara ada penduduk Hokkaido bermalam di pusat perlindungan sementara.
Sumber : Bernama/Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita