Jepun tampilkan teknologi canggih di Sukan Olimpik 2020
Kereta tanpa pemandu, sukarelawan robot dan TV definisi ultra tinggi.

Sebuah kenderaan tanpa pemandu di Jepun. (Gambar: AFP/Toshifumi Kitamura)
TOKYO: Kereta tanpa pemandu, sukarelawan robot dan TV definisi ultra tinggi. Itulah di antara inovasi dan teknologi yang ingin dipaparkan Japan Inc kepada dunia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Kali terakhir negara Jepun menganjurkan acara sukan musim panas di Tokyo pada tahun 1964, ia memukau para pengunjung dengan shinkansen, kereta api berkelajuan tinggi yang kini sudah menjadi sinonim dengan kehebatan dan kecekapan perkhidmatannya.
Acara sukan itu digunakan sebagai batu loncatan bagi negara itu untuk menguasai dunia teknologi dengan inovasi teknologinya seperti skrin LCD Sharp (Paparan Hablur Cecair) dan Sony Walkman.
Namun demikian, abad ke-21 memperlihatkan saingan dari syarikat-syarikat gergasi di Silicon Valley dan juga negara-negara seperti China dan Korea Selatan yang sudah berjaya menandingi dan mengatasi syarikat-syarikat teknologi besar Jepun.
"Salah satu masalah besar adalah kita berfikir bahawa kita masih inovatif. Tetapi jika dibandingkan dengan negara-negara lain, kita bukanlah yang paling inovatif," kata Yoko Ishikura seorang pakar daya saing di Universiti Hitotsubashi.
"Melihat ramai orang Jepun yang tidak sedar tentang apa yang berlaku di luar negara itu membimbangkan," kata Ishikura.
Sehubungan itu, pihak berkuasa dan syarikat-syarikat Jepun sedang membuat persiapan untuk mengubah situasi itu.
"Wawasan kami untuk Sukan Olimpik 2020 termasuk aspirasi untuk menjadikan acara itu yang paling inovatif dalam sejarah," kata jurucakap Tokyo 2020, Masa Takaya.
Baru-baru ini, sebuah bas tanpa pemandu diuji di lapangan terbang Haneda di Tokyo dan beberapa khidmat teksi tanpa pemandu untuk beroperasi sepenuhnya menjelang sukan Olimpik 2020.
Teknologi-teknologi baru yang bakal dipaparkan termasuk robot-robot penyambut tamu di lapangan terbang, sistem terjemahan automatik untuk kaunter-kaunter perkhidmatan dan sistem pengenalan wajah yang mampu mengecam wajah hanya dalam masa 0.3 saat bagi menaiktarafkan kawalan keselamatan.
Namun demikian, sektor pengangkutan negara itu mempunyai cita-cita yang lebih besar iaitu untuk menampilkan kenderaan-kenderaan tanpa pemandu di beberapa zon tertentu dan kenderaan tenaga bersih.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.