Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jepun selesai fasa 3 pelepasan sisa air terawat Fukushima ke laut

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun selesai fasa 3 pelepasan sisa air terawat Fukushima ke laut

Gambar: AFP

Diterbitkan : 21 Nov 2023 04:08PM Dikemas Kini : 21 Nov 2023 04:09PM
MOSKO: Fasa ketiga pelepasan air sisa radioktif terawat dari Loji Tenaga Nuklear (NPP) Fukushima Jepun, berakhir dengan selamat seperti dirancang.

Syarikat Tokyo Electric Power Company (TEPCO) memulakan pelepasan air pusingan ketiga itu pada 2 November, lapor Sputnik memetik penyiar NHK pada Isnin (20 Nov).

Menurut data syarikat, air yang pada peringkat awal melalui sistem penulenan ALPS, mempunyai 55-77 becquerel tritium seliter, jauh lebih rendah daripada norma 1,500 becquerel.

NHK melaporkan bahawa pelepasan air itu tidak menimbulkan sebarang masalah dengan lebih 7,800 tan air tulen daripada 10 tangki dilepaskan seperti dirancang.

Jepun mula melaksanakan pelan pelepasan 1.34 juta tan air terawat secara beransur-ansur dari NPP Fukushima ke lautan pada 24 Ogos. Proses itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 30 tahun.

China mengharamkan semua import makanan laut dari Jepun kerana bimbangkan pencemaran radioaktif walaupun agensi tenaga atom antarabangsa (IAEA) mengesahkan air sisa yang dirawat hanya mempunyai kesan radiologi yang sangat rendah ke atas persekitaran marin dan kesihatan manusia.

NPP Fukushima lumpuh selepas dilanda tsunami susulan gempa bumi berukuran sembilan pada skala Richter pada 2011. Sejak itu, air dipam masuk untuk menyejukkan reaktor loji berkenaan.

Sehingga Jun, kira-kira 1,000 tangki air sisa terawat disimpan di tapak berkenaan.
 
Sumber : AGENCIES/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan