Jepun sahkan kes pertama jangkitan baru koronavirus China
Jepun mengesahkan kes pertama akibat jangkitan daripada wabak baru, koronavirus China.
(Gambar: AFP)
TOKYO: Jepun mengesahkan kes pertama akibat jangkitan daripada wabak baru, koronavirus China.
Menurut kementerian kesihatan negara itu seorang lelaki berusia 30 tahun dari Kanagawa, disahkan positif menghidap virus itu.
Kenyataan yang dikeluarkan hari ini (16 Jan) menambah mangsa dikatakan pernah melawat Wuhan, China tempat penularan virus pneumonia yang dipercayai disebabkan koronavirus baru yang belum dikesan setakat ini.
Menyusuli penularan itu Jabatan Negara Amerika Syarikat sudah mengeluarkan amaran perjalanan berhubung kunjungan ke Wuhan.
Menurut jabatan itu, para pengunjung ke kota itu diingatkan untuk mengambil langkah pencegahan termasuk mengelak menyentuh haiwan, mengunjungi pasar haiwan atau makan produk haiwan.
Kementerian Kesihatan Thailand menyatakan pada Rabu bahawa pihaknya juga mengambil langkah pencegahan dengan meningkatkan pemantauan terhadap para pelancong yang tiba di lapangan terbang menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang mana dijangka lebih 800,000 pelancong China melawat negara itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengumumkan bahawa virus baru tersebut boleh merebak dan mengingatkan hospital seluruh dunia untuk berjaga-jaga.
Koronavirus adalah sebahagian daripada keluarga virus yang boleh menyebabkan jangkitan daripada selesema biasa sehinggalah kepada Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).
Sebahagian daripada virus tersebut menyebabkan jangkitan tidak serius manakala ada juga yang boleh menyebabkan jangkitan teruk seperti Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS).
Seorang pesakit Jepun yang diserang koronavirus itu pulang dari Wuhan bulan lalu, mengadu demam dan dirawat di hospital. Beliau dibenarkan keluar hospital semalam setelah simptom-simptom tersebut sudah berkurangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.