Jepun sahkan kes pertama COVID-19 varian 'Mu': Laporan
Jepun pada Rabu (1 Sep) mengesahkan kes pertama varian baru COVID-19 Mu pada dua orang yang tiba dari UAE dan UK.
(Gambar: Reuters)
TOKYO: Jepun pada Rabu (1 Sep) mengesahkan kes pertama varian baru COVID-19 mu pada dua orang yang tiba dari luar negara menerusi pemeriksaan di lapangan terbang.
Kementerian kesihatan negara itu mengumumkan bahawa varian mu dikesan pada seorang wanita berusia 40-an tahun yang tiba pada 26 Jun dari Amiriah Arab Bersatu. Kes kedua melibatkan seorang wanita berusia 50-an yang tiba pada 5 Julai dari United Kingdom. Kedua-dua wanita itu tidak menunjukkan gejala semasa tiba, lapor laman media tempatan Japan Times.
Semua pelawat ke Jepun dikehendaki menjalani ujian PCR semasa ketibaan dan menunggu keputusan - jika mereka disahkan positif, mereka akan dikuarantin di kemudahan yang dikhaskan atau dimasukkan ke hospital bergantung pada gejala mereka.
Kementerian itu menyatakan ia akan terus mengambil langkah-langkah untuk mencegah penyebaran varian itu dengan memantau teliti situasi di negara-negara lain.
Pada Isnin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan varian mu, yang juga dikenal sebagai B.1.621, sebagai varian yang diberi perhatian (variant of interest), tahap kedua tertinggi dalam senarai variannya.
Namun, masih belum jelas sama ada varian mu itu mudah berjangkit atau kebal vaksin.
Bagaimanapun dalam kenyataan pada Selasa, WHO memberi amaran bahawa vaksin atau rawatan antibodi mungkin kurang berkesan terhadap varian mu berbanding dengan keberkesanan terhadap versi asal koronavirus.
Dalam buletin mingguannya mengenai pandemik COVID-19, WHO menambah bahawa data awal menunjukkan keberkesanan vaksin terhadap mu adalah lebih rendah, sama dengan yang dilihat pada varian beta, yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan dianggap lebih mudah berjangkit daripada koronavirus asal.
Setakat ini, WHO menetapkan alpha, beta, gamma dan delta sebagai varian yang membimbangkan (variants of concern), iaitu tahap klasifikasi tertinggi.
Varian mu pertama kali dikesan pada Januari di Colombia dan setakat ini membentuk sekitar 40 peratus kes di negara itu, kata WHO. Mutasi itu kini dikesan di sekurang-kurangnya 40 negara namun membentuk kurang 0.1 peratus daripada kes di merata dunia, tambah pertubuhan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.