Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jepun sahkan kes jangkitan tempatan pertama varian Omicron

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun sahkan kes jangkitan tempatan pertama varian Omicron

Daerah Dotonbori di Osaka pada 16 April 2021. (Gambar: Philip Fong/AFP)

TOKYO: Jepun mengesahkan jangkitan tempatan pertama varian Omicron di Osaka pada Rabu (22 Dis).

Tiga sekeluarga itu tidak mempunyai rekod meninggalkan Jepun dan jangkitan mereka tidak dapat dijejaki sumbernya, kata Gabenor Osaka Hirofumi Yoshimura. 

Ketiga-tiga kes itu merupakan kes pertama jangkitan varian Omicron dalam masyarakat di Jepun, kata Encik Yoshimura lagi. 

"Saya rasa kes ini dikesan secara kebetulan, dan kita harus mengambil tindakan dengan anggapan bahawa terdapat lagi kes jangkitan dalam masyarakat," ujarnya. 

Encik Yoshimura berkata langkah sekatan di tempat makan di Osaka akan kekal dilaksanakan, termasuk had empat orang bagi setiap meja untuk tempoh  sehingga dua jam, bagi mengurangkan risiko semasa musim cuti akhir tahun, di mana terdapat lonjakan jangkitan koronavirus tahun lalu. 

Sekitar 80 kes Omicron sudah dikesan di Jepun, namun, semuanya melibatkan   individu yang diuji positif setibanya di lapangan terbang ataupun individu yang berkaitan dengan kes positif tersebut, menurut  pegawai kerajaan.

Mengulas kes di Osaka itu, Menteri Kesihatan Shigeyuki Goto berkata kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk mengekang penularan lanjut varian tersebut.

Jepun melonggarkan kawalan sempadannya pada November, namun, dengan pantas menguatkuasakan larangan terhadap pelawat asing baru selepas Omicron dikesan di Afrika Selatan. 

Perdana Menteri Fumio Kishida berkata pada Selasa (21 Dis) bahawa beliau merancang untuk mengekalkan kawalan sempadan, iaitu antara yang paling ketat di dunia, sehingga lebih maklumat tentang varian Omicron diketahui. 

PM Kishida juga berkata Jepun akan memperketatkan lagi syarat-syarat kuarantin bagi individu yang mempunyai kontak rapat bersama pesakit Omicron, menghendaki mereka mengasingkan diri selama 14 hari di kemudahan yang ditetapkan, dan bukan di rumah, seperti sebelum ini. 

Beliau juga mengumumkan rancangan untuk mempercepatkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19, bermula dengan pegawai perubatan pada Disember ini. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan