Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jepun rombak dasar pertahanan selepas ancaman dari China

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun rombak dasar pertahanan selepas ancaman dari China

Encik Fumio Kishida. (Gambar: KAZUHIRO NOGI / AFP)

TOKYO: Jepun dijangka mengumumkan rombakan pertahanan terbesarnya dalam beberapa dekad minggu ini.

Ia termasuk meningkatkan perbelanjaan, membentuk semula pemerintahan tenteranya dan memperoleh peluru berpandu baru untuk menangani ancaman dari China.

Dasar itu, yang akan digariskan dalam tiga dokumen pertahanan dan keselamatan seawal Jumaat ini (16 Dis), akan membentuk semula landskap pertahanan di negara yang perlembagaan selepas perang tidak mengiktiraf tentera secara rasmi.

"Pada asasnya, mengukuhkan keupayaan pertahanan kami adalah cabaran paling mendesak dalam persekitaran keselamatan yang buruk ini," kata Perdana Menteri Fumio Kishida pada hujung minggu lalu

"Kami akan segera memperkasa keupayaan pertahanan kami dalam tempoh lima tahun akan datang."

Peralihan itu berpunca daripada kebimbangan Tokyo tentang kekuatan tentera China yang semakin meningkat, kedudukan serantau, serta ancaman seperti pelancaran peluru berpandu Korea Utara dan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Antara kunci utama dasar baru itu adalah ikrar untuk meningkatkan perbelanjaan kepada dua peratus daripada GDP menjelang 2027 untuk menjadikan Jepun setanding dengan anggota-anggota NATO.

Ia menandakan peningkatan ketara daripada perbelanjaan bersejarah sekitar satu peratus dan mencetuskan kritikan mengenai bagaimana ia akan dibiayai.

Wang itu akan membiayai projek-projek termasuk pemerolehan apa yang Jepun panggil "kapasiti serangan balas", iaitu keupayaan untuk menyerang tapak pelancaran yang mengancam negara dan sebagai langkah pencegahan.

Jepun sebelum ini mengelak daripada memperoleh keupayaan itu selepas pertikaian sama ada ia boleh melanggar had perlembagaan untuk mempertahankan diri.

Berhubung kontroversi tersebut, dokumen dasar menegaskan bahawa Jepun kekal komited kepada "dasar keselamatan berteraskan pertahanan diri" dan "tidak akan menjadi kuasa tentera".

Jepun juga telah mengumumkan rancangan untuk membangunkan jet pejuang generasi akan datang dengan Itali dan Britain, dan dilaporkan merancang untuk membina depot peluru baru dan melancarkan satelit untuk memimpin sebarang serangan balas.

Perubahan itu juga akan menjejas pertubuhan tentera. Agensi berita Nikkei melaporkan bahawa ketiga-tiga cabang Angkatan Pertahanan Diri akan diletakkan di bawah satu perintah dalam masa lima tahun.

Peralihan dasar dalam dokumen-dokumen berkenaan yang termasuk Strategi Keselamatan Negara utama dijangka disebabkan oleh China.

Parti pemerintah Jepun dilaporkan mahu menyebut Beijing sebagai "ancaman", tetapi di bawah tekanan daripada rakan perikatannya, mereka sebaliknya memutuskan untuk menyifatkan China sebagai "keprihatinan serius" dan "cabaran strategi terbesar Jepun".

Kebimbangan mengenai China semakin mendalam sejak latihan ketenteraan utama yang dijalankan oleh Beijing di sekitar Taiwan pada Ogos, di mana peluru berpandu dilancarkan di perairan ekonomi Jepun.
Jepun juga dijangka akan menganggap Rusia sebagai satu cabaran, berbanding ikrar negara itu pada 2013 untuk menjalinkan kerjasama dan "meningkatkan" hubungan dua hala.

Jepun menyertai sekutu Barat dalam mengenakan sekatan ke atas Moscow.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan