Jepun mudahkan prosedur kuarantin COVID-19 di lapangan terbang
Jepun akan memudahkan mereka yang tiba dari luar negara melengkapkan prosedur yang diperlukan dengan menggunakan telefon pintar dan ia dijangka dapat digunakan pada pertengahan September ini.
(Gambar: Reuters)
Kerajaan menetapkan agar sistem yang diubah suai itu dapat digunakan pada pertengahan September, lapor Jiji Press.
Pada ketika ini, mereka yang tiba dari luar negara diminta melengkapkan maklumat sijil vaksinasi COVID-19 dan lain-lain menerusi pautan laman sesawang atau aplikasi MySOS terlebih dahulu.
Sistem baru yang diubah suai itu akan membolehkan penumpang mendaftar semua maklumat yang diperlukan untuk menjalani prosedur kuarantin lapangan terbang secara lebih cepat.
Mereka yang sudah mendaftar hanya perlu menunjukkan kod QR di lapangan terbang.
Jepun juga akan melonggarkan langkah kawalan sempadan COVID-19, dan mengecualikan ketibaan mereka yang lengkap tiga dos vaksin selain menyerahkan keputusan negatif ujian COVID-19.
Di samping itu, negara itu akan menaikkan had kemasukan ke negara tersebut kepada 50,000 berbanding 20,000 ketika ini dan membenarkan kemasukan pelancong luar negara menerusi pakej pelancongan tanpa konduktor.
Kerajaan Jepun juga berharap dapat meningkatkan jumlah ketibaan pelancong ke Jepun dengan memudahkan prosedur kuarantin di lapangan terbang.
Jepun "akan memudahkan lagi (langkah kawalan sempadan) untuk merealisasikan kemasukan yang lancar setanding dengan Kumpulan Tujuh (G7) yang lain," kata Ketua Setiausaha Kabinet Hirokazu Matsuno pada sidang media Khamis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.