Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jepun meratapi Shinzo Abe; jasad mantan PM Jepun dibawa ke Tokyo

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun meratapi Shinzo Abe; jasad mantan PM Jepun dibawa ke Tokyo

(Gambar: Philip Fong/AFP)

Diterbitkan : 09 Jul 2022 01:22PM Dikemas Kini : 09 Jul 2022 07:59PM

KASHIHARA: Jepun pada Sabtu (9 Jul) meratapi pemergian mantan Perdana Menteri Shinzo Abe yang jasadnya sedang dibawa ke Tokyo dari bandar Nara di barat Jepun, di mana beliau ditembak semasa menyampaikan ucapan. 

Pembunuhan tokoh politik paling terkenal di Jepun itu menggemparkan negara tersebut dan juga seluruh dunia, lebih-lebih lagi memandangkan Jepun mencatatkan paras jenayah ganas yang rendah dan menguatkuasakan undang-undang senjata yang ketat. 

Lelaki yang dituduh menembak Encik Abe kini sedang ditahan oleh pihak berkuasa, dengan polis menyatakan bahawa dia sudahpun mengaku telah membunuh mantan perdana menteri itu, didorong oleh kepercayaan seolah-olah Encik Abe ada kaitan dengan sebuah pertubuhan yang namanya tidak didedahkan. 

Polis sedang menyiasat latar belakang penganggur berusia 41 tahun itu, termasuk dakwaan bahawa dia pernah berkhidmat dalam Angkatan Pertahanan Maritim Jepun, iaitu angkatan tentera laut Jepun, dan lelaki tersebut dipercayai menggunakan senapang buatan sendiri. 

Ketika ditembak, Encik Abe sedang menyampaikan ucapannya menjelang pilihan raya dewan tinggi dan kempen pilihan raya itu disambung semula pada Sabtu (9 Jul), dengan para ahli politik menegaskan bahawa mereka bertekad untuk menunjukkan pembunuhan itu tidak akan menghambat demokrasi.

Sejurus sebelum pukul 6.00 pagi waktu tempatan, sebuah kereta mayat yang membawa balu Encik Abe, Akie dan dipercayai membawa jenazah bekas pemimpin itu, meninggalkan hospital di Kashihara, barat Jepun di mana mendiang dirawat. 

Para doktor di Hospital Universiti Perubatan Nara pada Jumaat (8 Jul) berkata tiada denyutan jantung dikesan pada Encik Abe semasa beliau tiba di hospital berkenaan dan meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak meskipun pemindahan darah sudah dilakukan. 

Mereka juga menggambarkan pelbagai kesan luka pada bahagian leher perdana menteri itu, dengan kesan tembakan itu sampai ke jantungnya.

Pembunuhan Encik Abe menggemparkan Jepun, dengan Perdana Menteri Fumio Kishida menyifatkan pembunuhan itu sebagai satu "tindakan kejam" yang "tidak boleh dimaafkan sama sekali". 

Beliau kelihatan amat terkesan secara emosi dan tergamam setelah kematian mantan perdana menteri itu disahkan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan