Jepun manfaatkan lonjakan populariti matcha untuk rancakkan lagi eksport teh hijau
Pemerintah Jepun sedang mempertimbangkan langkah-langkah untuk menggalakkan petani teh hijau meningkatkan pengeluaran daun "tencha" yang boleh digiling menjadi serbuk matcha, berbanding daun "sencha" yang lebih lazim digunakan di Jepun.

(Gambar: Unsplash)
Usaha ini bertujuan untuk merancakkan lagi eksport teh tersebut di Jepun, menurut sumber dari Kementerian Pertanian Jepun.
Agensi berita Kyodo News melaporkan bahawa Jepun berhasrat memanfaatkan pasaran antarabangsa untuk matcha yang semakin berkembang, di mana ia sering digunakan dalam pencuci mulut dan minuman, bagi mengimbangi penurunan penggunaan teh hijau di dalam negara.
Tencha dihasilkan dengan mengukus dan mengeringkan daun teh yang ditanam di bawah teduhan sebelum diproses menjadi serbuk halus untuk menghasilkan matcha.
Sencha, sebaliknya, dihasilkan dengan mengukus, menguli, dan mengeringkan daun yang ditanam di bawah cahaya matahari.
Kementerian Pertanian, Perhutanan, dan Perikanan Jepun merancang untuk memperuntukkan subsidi dalam Belanjawan Fiskal 2025 untuk membantu petani teh bersedia untuk pengeluaran tencha.
Eksport teh hijau Jepun meningkat hampir sembilan kali ganda kepada rekod 29.2 bilion yen (S$251 juta) dalam tempoh 15 tahun hingga 2023, dipacu terutamanya oleh matcha susulan peningkatan populariti makanan Jepun dalam kalangan pengguna di Eropah dan Amerika Syarikat yang lebih menitikberatkan kesihatan, menurut kementerian itu.
Namun demikian, pengeluaran teh Jepun merosot lebih 20 peratus dalam tempoh sama, sejajar dengan populasi petani yang semakin tua dan pengurangan hampir 40 peratus dalam perbelanjaan tahunan purata isi rumah terhadap teh hijau, menurut data kerajaan.
Peralihan kepada tencha akan dimasukkan dalam dasar asas kementerian untuk pengeluaran teh, yang dijadualkan disemak pada musim bunga ini, sempena kajian semula pertama dalam tempoh lima tahun.
“Pengeluaran teh bernilai tambah tinggi adalah penting. Kami akan memajukan perbincangan supaya semua pihak berkepentingan dapat mencapai pemahaman yang menyeluruh,” kata seorang pegawai kementerian ketika ahli panel kementerian berbincang mengenai dasar asas itu.
Sehubungan itu, Pemerintah Jepun turut mempergiat usaha mempromosikan maklumat berkaitan matcha menerusi media sosial.
Akaun promosi teh di Instagram yang diuruskan oleh Pusat Promosi Produk Makanan Jepun di Luar Negara telah menarik lebih 30,000 pengikut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.