Skip to main content

Dunia

Jepun luluskan dasar iklim, tenaga, industri baharu

Pemerintah Jepun pada Selasa (18 Feb) meluluskan sasaran baharu untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di negara itu sehingga 2040, serta sebuah pelan tenaga yang telah disemak dan dasar perindustrian yang dikemas kini bagi tempoh yang sama.

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun luluskan dasar iklim, tenaga, industri baharu

Dua orang pekerja berjalan melewati atap panel solar "perovskite" yang dipasang di terminal bas semasa lawatan media ke tapak Expo Osaka pada 17 Januari 2025. (Gambar: AFP/Richard A Brooks)

TOKYO: Pemerintah Jepun pada Selasa (18 Feb) meluluskan sasaran baharu untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di negara itu sehingga 2040, serta sebuah pelan tenaga yang telah disemak dan dasar perindustrian yang dikemas kini bagi tempoh yang sama.

Langkah-langkah itu yang bertujuan untuk mengukuhkan kestabilan dasar jangka panjang untuk perniagaan, tertumpu pada usaha mempromosikan pengurangan pengeluaran karbon, memastikan bekalan tenaga yang stabil dan mengukuhkan keupayaan industri memacu pertumbuhan ekonomi.

Di bawah dasar iklim yang baharu, Jepun menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 60 peratus daripada paras pada tahun 2013 menjelang tahun 2035 dan sebanyak 73 peratus menjelang 2040, sekali gus melanjutkan sasaran pengurangan 46 peratus menjelang 2030.

Sasaran untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon itu mendorong seruan bagi pengurangan lebih mendalam oleh para pakar dan anggota gabungan pemerintah apabila ia pertama kali diusulkan.

Ini sedang pengeluar karbon kelima terbesar di dunia menghadapi kesukaran mengurangkan kebergantungannya terhadap bahan bakar.

Walaupun lebih 80 peratus daripada 3,000 komen daripada masyarakat umum menyokong sasaran yang lebih bercita-cita tinggi itu, kementerian persekitaran dan industri memuktamadkan matlamat itu tanpa sebarang perubahan, sambil menukil perbincangan awal bersama para pakar iklim.

Sebagai sebahagian daripada usaha global menangani perubahan iklim, Jepun merancang untuk mengemukakan sasaran baharu itu, yang dikenali sebagai "Sumbangan yang Ditentukan Negara" (NDC) di bawah Perjanjian Paris kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan ini.

Dasar tenaga yang disemak semula itu menyasarkan agar tenaga boleh diperbaharui menyumbang sehingga 50 peratus daripada campuran bekalan elektrik Jepun menjelang tahun kewangan 2040, dengan tenaga nuklear menyumbang lagi 20 peratus.

Ini sementara negara itu berusaha mendapatkan bekalan tenaga bersih sambil memenuhi permintaan bagi bekalan tenaga yang kian meningkat.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita