Skip to main content

Dunia

Jepun lulus undang-undang tubuh majlis risikan negara

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun lulus undang-undang tubuh majlis risikan negara

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 27 May 2026 10:28PM
  • Parlimen Jepun meluluskan undang-undang menubuhkan Majlis Perisikan Kebangsaan dan Biro Perisikan Kebangsaan untuk memperkukuh keupayaan perisikan negara.
  • Majlis ini akan dipengerusikan Perdana Menteri Sanae Takaichi dan dianggotai anggota Kabinet berkaitan, dengan biro sebagai sekretariat utama.
  • Undang-undang baharu ini menimbulkan kebimbangan masyarakat dan bantahan di Tokyo kerana kekurangan pengawasan Parlimen serta isu akauntabiliti demokratik.
  • Pakar dan media mengingatkan risiko pengulangan sejarah pengawasan ketat seperti era "Tokko" serta kemungkinan sekatan terhadap pertukaran awam dengan negara jiran.
Dijana oleh AI
TOKYO: Parlimen Jepun pada Rabu meluluskan undang-undang bagi menubuhkan Majlis Perisikan Kebangsaan, lapor Xinhua.

Undang-undang itu diluluskan ketika Perdana Menteri Sanae Takaichi berhasrat memusatkan dan memperkukuh keupayaan perisikan negara itu.

Kerajaan Jepun merancang menubuhkan sistem perisikan berteraskan Majlis Perisikan Kebangsaan, dengan Biro Perisikan Kebangsaan sebagai badan operasinya, bagi menyatukan fungsi perisikan negara yang sebelum ini berpecah-belah.

Di bawah undang-undang baharu itu, Majlis Perisikan Kebangsaan akan dipengerusikan oleh perdana menteri dan dianggotai anggota Kabinet berkaitan, termasuk Ketua Setiausaha Kabinet dan Menteri Luar.

Biro Perisikan Kebangsaan, selaku sekretariat majlis itu akan menyelaras secara menyeluruh kerja-kerja perisikan merentas kementerian dan agensi kerajaan.

Kyodo News melaporkan bahawa undang-undang baharu itu kekurangan peruntukan bagi pengawasan Parlimen terhadap kegiatan perisikan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai akauntabiliti demokratik.

Menurut media tempatan, kerajaan boleh menubuhkan majlis dan biro itu seawal Julai.

Undang-undang itu, yang diluluskan Dewan Ahli Majlis pada Rabu dan Dewan Perwakilan pada April, terus mencetuskan kebimbangan meluas dalam masyarakat Jepun.

Bantahan terhadap undang-undang itu diadakan berulang kali di Tokyo, termasuk pada Selasa.

Penyelidik pelawat di Universiti Meiji di Jepun, Atsushi Koketsu berpendapat sistem perisikan baharu itu boleh menyebabkan pertukaran awam antara Jepun dan negara jirannya tertakluk kepada pemantauan dan sekatan, lapor Xinhua.

Langkah itu turut mengimbau semula ingatan terhadap “Tokko” di Jepun. 

Tokko, singkatan bagi Special Higher Police, ialah organisasi polis rahsia terkenal yang dikatakan menindas perbezaan pendapat dan menguatkuasakan kawalan ideologi di Jepun sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua.

Ryukyu Shimpo dalam editorial terdahulu memberi amaran bahawa pengajaran sejarah mengenai polis tentera dan "Tokko" yang memantau rakyat biasa serta bertindak keras terhadap suara antiperang tidak harus dilupakan.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita