Skip to main content

Dunia

Jepun lulus rang undang-undang tembakan kecemasan untuk haiwan berbahaya

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun lulus rang undang-undang tembakan kecemasan untuk haiwan berbahaya

(Gambar: AFP/Richard A. Brooks)

Diterbitkan : 22 Feb 2025 10:55AM Dikemas Kini : 22 Feb 2025 10:56AM
TOKYO: Kerajaan Jepun meluluskan rang undang-undang pada Jumaat (21 Feb) untuk membenarkan pihak berkuasa tempatan memberi kebenaran bagi "tembakan kecemasan", apabila haiwan berbahaya memasuki kawasan padat penduduk berikutan peningkatan kes serangan beruang.

Mesyuarat Kabinet Jepun telah meluluskan pindaan rang undang-undang itu bertujuan untuk membolehkan tindak balas yang lebih cepat dan berkesan, berbanding langkah sedia ada yang hanya membenarkan tembakan dilepaskan terhadap haiwan berbahaya apabila terdapat nyawa manusia yang terancam.

Jika undang-undang yang dipinda tersebut diluluskan dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung, Kementerian Alam Sekitar Jepun dijangka menguatkuasakannya menjelang musim luruh, ketika selera makan beruang berada pada puncaknya sebelum musim hibernasi.

Langkah baharu itu akan membolehkan kerajaan tempatan bertindak terhadap situasi seperti beruang yang berada lama dalam rumah atau bangunan.

Pada tahun kewangan 2023 hingga Mac 2024, Jepun mencatatkan serangan beruang tertinggi dengan 219 kes, enam daripadanya mengakibatkan kematian, menurut data rasmi.

Rang undang-undang tersebut juga menetapkan syarat-syarat tertentu bagi tembakan kecemasan.

Ini seperti apabila ia sukar untuk menangkap haiwan itu dengan cepat tanpa menggunakan senjata api, dan tiada risiko berlaku peluru sesat hingga terkena orang awam.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita