Skip to main content

Dunia

Jepun isytihar 'hari panas membahang' apabila suhu jangkaui 40°C

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun isytihar 'hari panas membahang' apabila suhu jangkaui 40°C

Orang ramai melawat Istana Nagoya semasa cuaca panas di tengah-tengah gelombang haba di Nagoya, 21 Ogos 2025. (Gambar: AFP/Philip Fong)

Diterbitkan : 17 Apr 2026 06:11PM Dikemas Kini : 17 Apr 2026 06:34PM
JEPUN: Suhu melampau yang menjangkaui 40 darjah Celcius kini akan diberi nama "hari panas membahang" atau "kokusho-bi" di Jepun, lapor agensi cuaca pada Jumaat (17 Apr), sedang gelombang haba semakin kerap berlaku di rantau itu.

Dengan menggunakan istilah tersebut, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) menyatakan ia "lebih berkesan dalam memberi amaran supaya orang ramai lebih berwaspada terhadap suhu yang sangat tinggi".

Tahun lalu, Jepun mengalami musim panas yang paling membahang sejak rekod mula dicatatkan pada tahun 1989 - dengan hari-hari panas yang semakin meningkat di seluruh dunia akibat perubahan iklim.

Untuk mencipta kategori baharu itu, JMA menjalankan tinjauan awam dan menerima maklum balas daripada 478,000 orang sebelum memilih gelaran "hari panas membahang", yang dianggap paling popular.

Pilihan kedua paling popular ialah "hari panas membara" atau "cho-mosho-bi", manakala gelaran lain seperti "hari sauna", "hari duduk di rumah", dan "hari panas mendidih" juga antara pilihan yang ditawarkan.

Kategori baharu itu menyertakan istilah sedia ada yang digunakan oleh JMA untuk suhu mencecah 25 darjah Celcius dan ke atas (hari musim panas), 30 darjah Celcius dan ke atas (hari pertengahan musim panas), dan 35 darjah Celcius dan ke atas (hari panas melampau).
Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita